CEO 'tertangkap' bermesra dengan Ketua HR ketika konsert Coldplay

Aksi mereka pantas tular media sosial. Agensi
Aksi mereka pantas tular media sosial. Agensi
A
A
A

BOSTON – Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi terkenal, Astronomer, Andy Byron, mencetuskan kontroversi selepas rakaman video memaparkan beliau bermesra dengan Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat itu, Kristin Cabot, ketika konsert Coldplay di Boston, tular di media sosial.

Insiden itu berlaku apabila kamera pentas secara tidak sengaja merakam aksi mesra kedua-duanya dan menayangkannya di skrin besar di hadapan puluhan ribu penonton.

Vokalis Coldplay, Chris Martin, secara bersahaja memberi komen, “Oh, lihat pasangan ini,” tanpa menyedari bahawa mereka bukan pasangan suami isteri.

Reaksi spontan Martin disambut dengan gelak ketawa penonton, manakala Byron dan Cabot dilihat cuba menutup wajah masing-masing, dipercayai terkejut apabila menyedari mereka sedang dirakam secara langsung.

Chris Martin kemudiannya menambah dengan nada berseloroh, “Oh... sama ada mereka sedang menjalinkan hubungan sulit atau mereka sangat pemalu,” seolah-olah menyedari situasi janggal yang sedang berlaku.

Pendedahan tersebut mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya selepas maklumat peribadi kedua-dua individu terbabit berjaya dikesan oleh warganet.

Berdasarkan semakan akaun LinkedIn, Andy Byron telah menerajui syarikat Astronomer sejak Julai 2023 dan syarikat itu kini dianggarkan bernilai lebih AS$1.3 bilion (kira-kira RM6.1 bilion). Byron dilaporkan sudah berkahwin dengan Megan Kerrigan Byron dan menetap di New York bersama dua orang anak mereka. Status perkahwinan Kristin Cabot pula tidak didedahkan secara terbuka.

Netizen tidak melepaskan peluang meninggalkan pelbagai komen sinis, antaranya menyindir kenyataan dalam profil profesional Cabot yang menyebut beliau “memenangi kepercayaan pekerja di semua peringkat daripada CEO hingga pembantu.”

Malah ada yang menulis: “Kasihan isterinya... tapi bagus juga mereka ‘kantoi’ secara terbuka.”

Artikel Berkaitan:

Ada juga komen yang mengambil pendekatan sinis seperti, “Apa yang lebih teruk – berlaku curang atau menjadi peminat Coldplay?”

Seorang lagi pengguna menulis: “Inilah skandal paling besar di internet hari ini. CEO syarikat data terkenal kantoi curang dengan ketua HR ketika konsert Coldplay. LinkedIn CEO itu terbakar, dan Facebook isterinya pun meletup.”

Video berdurasi beberapa saat itu terus meraih jutaan tontonan dan menjadi antara perbualan paling hangat di platform X dan TikTok setakat ini. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!