Apa sebenarnya yang FAM mahu? – Zainol Fadzi

Laporan Sukan Sinar pada Khamis mengenai isu menarik diri daripada Kejohanan Piala Persatuan Bolasepak Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025. Gambar kecil: Zainol Fadzi
Laporan Sukan Sinar pada Khamis mengenai isu menarik diri daripada Kejohanan Piala Persatuan Bolasepak Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025. Gambar kecil: Zainol Fadzi
A
A
A

BEKAS Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Zainol Fadzi Paharudin melahirkan rasa hairan terhadap keputusan badan induk bola sepak negara itu yang menarik diri daripada Kejohanan Piala Persatuan Bolasepak Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025.

Menurutnya, keputusan berkenaan dilihat bertentangan dengan aspirasi untuk melihat skuad Harimau Malaya berdepan pasukan bertaraf tinggi bagi meningkatkan daya saing dan pengalaman antarabangsa.

“Apa sebenarnya yang FAM mahukan? Selama ini, kita sentiasa mengimpikan peluang untuk menentang pasukan-pasukan bertaraf dunia,” katanya kepada Sukan Sinar.

Zainol yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, penyertaan dalam kejohanan CAFA merupakan peluang keemasan untuk pemain tempatan, termasuk pemain warisan Harimau Malaya menimba pengalaman berharga.

“Kejohanan seperti ini amat penting kerana memberikan ruang kepada pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia untuk mengukur kemampuan sebenar di pentas antarabangsa selepas sekian lama kekurangan perlawanan kompetitif berdepan pasukan ranking terbaik dunia,” katanya.

Tambahnya, perlawanan menentang pasukan berstatus tinggi bukan sahaja mampu meningkatkan mutu permainan individu, malah memperkukuh kekuatan pasukan negara secara menyeluruh.

“Kita sedia maklum bukan mudah untuk mendapatkan pendedahan pada tahap sebegini.

"Justeru, peluang seperti ini tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja,” katanya yang juga berharap badan induk itu lebih konsisten dalam perancangan pembangunan skuad kebangsaan dan tidak membuat keputusan yang boleh menjejaskan hala tuju bola sepak negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!