Anak patung ‘kulit manusia’ di hentian bas cetus panik

Rupa bentuk patung tersebut. -Agensi
Rupa bentuk patung tersebut. -Agensi
A
A
A

CALIFORNIA – Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan pihak berkuasa selepas didakwa menimbulkan panik awam apabila meletakkan sebuah anak patung beruang yang kelihatan seperti diperbuat daripada kulit manusia berdarah di sebuah hentian bas di kawasan gurun Mojave, Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan Pejabat Sheriff Daerah San Bernardino, suspek dikenali sebagai Hector Corona Villanueva, ditahan pada Isnin dan didakwa atas kesalahan mencetuskan kegusaran awam.

Insiden berkenaan berlaku di Victorville, kira-kira 135 kilometer timur laut Los Angeles, apabila pihak berkuasa menerima laporan mengenai sebuah anak patung mencurigakan yang ditinggalkan berhampiran stesen minyak di Bear Valley Road, tengah hari Ahad lalu.

Keadaan patung berkenaan yang kelihatan seolah-olah diperbuat daripada kulit manusia sebenar.-Agensi
Keadaan patung berkenaan yang kelihatan seolah-olah diperbuat daripada kulit manusia sebenar.-Agensi

Anak patung tersebut pada awalnya disyaki diperbuat daripada kulit manusia, berdasarkan bentuk dan warna yang menyerupai tisu manusia sebenar. Ia mempunyai ciri-ciri seperti bibir, soket mata dan hidung manusia yang dijahit secara kemas pada permukaan kulitnya.

Namun hasil pemeriksaan oleh penyiasat koroner dan pakar patologi forensik mengesahkan bahawa objek itu diperbuat daripada bahan lateks tiruan dan tidak mengandungi sebarang tisu manusia.

“Siasatan mendapati anak patung itu dijual secara dalam talian melalui laman sesawang yang mendakwa ia diperbuat daripada kulit manusia, namun kenyataan itu ternyata palsu,” jelas kenyataan koroner.

Pihak sheriff menyatakan bahawa tindakan suspek telah menyebabkan pembaziran sumber kecemasan yang sepatutnya digunakan untuk kes sebenar dan boleh mendatangkan risiko kepada orang awam.

Artikel Berkaitan:

“Insiden sebegini mengambil masa dan tenaga pasukan kecemasan yang sepatutnya digunakan untuk bantuan sahih, sekali gus mungkin melengahkan respons kepada kecemasan sebenar,” katanya lagi.

Patung itu diletakkan di sebuah stesen bas.-Agensi
Patung itu diletakkan di sebuah stesen bas.-Agensi

Sementara itu, seorang artis dari Carolina Selatan, Robert Kelly, tampil mengesahkan bahawa anak patung tersebut adalah hasil ciptaannya. Beliau menyatakan telah menjual anak patung berkenaan kepada Villanueva melalui laman Etsy, dan ia telah dihantar ke Victorville pada 12 Julai lalu.

“Saya menerima banyak mesej pada malam 13 Julai selepas gambar patung itu mula tular. Saya tahu itu hasil kerja saya kerana saya sendiri yang bungkus dan poskannya,” kata Kelly kepada NBC News.

Kelly, pengasas Dark Seed Creations, menjelaskan bahawa dia menggunakan acuan langsung daripada kulit manusia sebenar untuk mencipta rupa realistik pada produk rekaannya yang diperbuat daripada lateks dan pelbagai pewarna khas.

“Kami pernah letakkan ‘kulit’ ini pada gitar, sofa, dan anak patung beruang. Pelanggan saya biasanya terdiri daripada penganjur rumah hantu dan kedai-kedai barangan pelik,” ujarnya.

Setakat ini, pihak berkuasa belum menyatakan sama ada Villanueva akan didakwa secara rasmi di mahkamah, namun siasatan berhubung niat sebenar tindakannya sedang diteruskan. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!