Kanak-kanak ditendang, diugut bunuh oleh wanita 'berhalusinasi'

Mangsa dipukul dan diugut seorang wanita yang dikenali ketika berada di sebuah kedai runcit. Gambar kecil: Superintenden Abdul Malik Hasim
Gambar hiasan.
Mangsa dipukul dan diugut seorang wanita yang dikenali ketika berada di sebuah kedai runcit. Gambar kecil: Superintenden Abdul Malik Hasim Gambar hiasan.
A
A
A

NILAI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bengkak pada bahagian hidung dan lebam pada beberapa bahagian kaki selepas dipercayai ditendang seorang wanita di sebuah kedai runcit kawasan perumahan Sri Palma Villa, Mantin di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, suspek wanita berusia 30-an dikatakan bertindak demikian kerana berada dalam keadaan halusinasi dengan mengesyaki mangsa mencuri barang di kedai runcit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai pada jam 3.30 petang menerima laporan daripada ibu mangsa memaklumkan kejadian itu.

"Wanita itu memaklumkan bahawa anaknya dipukul dan diugut seorang wanita yang dikenali ketika berada di sebuah kedai runcit.

"Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 11 malam sepasukan polis dari IPD Nilai berjaya menahan suspek tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pihaknya turut merampas sehelai baju berhud kelabu dan sebuah alat mainan berbentuk senjata sebagai barang kes.

Jelas beliau,hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang sedang membeli minuman di kedai itu secara tiba-tiba diserang suspek dengan menendang dan memijak mangsa di bahagian muka dan kaki.

"Suspek turut didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap mangsa dan kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis selain turut disaksikan seorang pelanggan yang berada di situ," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, suspek didakwa berada dalam keadaan halusinasi ketika kejadian dan mengesyaki mangsa mencuri barangan dari premis, walaupun tiada bukti yang menunjukkan sedemikian.

Jelasnya lagi, mangsa sudah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban dan didapati mengalami bengkak pada bahagian hidung serta lebam di beberapa bahagian kaki.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada pagi tadi bagi permohonan reman dan majistret membenarkan tahanan selama empat hari sehingga 19 Julai untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!