Enam pekerja dihempap rak 17 tingkat, seorang maut

Enam orang pekerja terperangkap selepas rak penyimpanan setinggi 17 tingkat runtuh dan menghempap mereka.
Enam orang pekerja terperangkap selepas rak penyimpanan setinggi 17 tingkat runtuh dan menghempap mereka.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang pekerja maut selepas dihempap rak penyimpanan barang setinggi 17 tingkat di sebuah kilang sarung tangan di Jalan Kawasan Perindustrian Olak Lempit di sini pada Selasa.

Mangsa warga Bangladesh dikenali sebagai Rahman, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas berjaya dikeluarkan dari timbunan barang oleh pasukan penyelamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.54 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA bersama sembilan anggota dan dua jentera digerakkan ke lokasi.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 11.05 pagi, didapati enam orang pekerja telah terperangkap selepas rak penyimpanan setinggi 17 tingkat runtuh dan menghempap mereka.

"Lima mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi mangsa masih belum dijumpai ketika itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan sebelum mangsa terakhir berjaya ditemukan tertimbus di bawah timbunan barang-barang pada jam 11.20 pagi.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

"Semua mangsa lain mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!