Menantu tiru plot filem, bunuh ibu mentua demi tuntutan insurans RM340,200

Seorang lelaki ditahan polis selepas didakwa membunuh ibu mentuanya sendiri dalam insiden yang didakwa terinspirasi daripada filem thriller jenayah popular, Drishyam.
Seorang lelaki ditahan polis selepas didakwa membunuh ibu mentuanya sendiri dalam insiden yang didakwa terinspirasi daripada filem thriller jenayah popular, Drishyam.
A
A
A

TELANGANA – Seorang lelaki ditahan polis selepas didakwa membunuh ibu mentuanya sendiri dalam insiden yang didakwa terinspirasi daripada filem thriller jenayah popular, Drishyam.

Kejadian mengejutkan itu berlaku di Kampung Peddamasanpalli, daerah Siddipet, dan melibatkan suspek dikenali sebagai Venkatesh, yang dipercayai merancang pembunuhan dengan teliti semata-mata untuk mendapatkan tuntutan insurans bernilai 60 lakh rupee (sekitar RM340,200).

Menurut kenyataan rasmi Polis Siddipet, Venkatesh sebelum ini telah mengambil beberapa polisi insurans atas nama ibu mentuanya, Ramavva, 60, termasuk di Pejabat Pos dan State Bank of India, seawal Mac tahun ini.

Dalam rancangan liciknya itu, Venkatesh mengajak Ramavva ke ladang atas alasan bekerja. Kemudian, ketika malam melabuhkan tirai, dia menyuruh wanita itu pulang bersendirian dengan berjalan kaki pada waktu tengah malam.

“Siasatan mendapati, ketika mangsa berjalan di jalan sunyi, rakan subahat Venkatesh datang menaiki kereta dan melanggarnya sehingga maut,” kata polis.

Selepas kejadian, Venkatesh berusaha memalsukan tempat kejadian supaya tampak seperti kemalangan jalan raya yang tragik.

Namun, siasatan polis membongkar sesuatu yang mencurigakan. Pasukan penyiasat meneliti rakaman CCTV berhampiran lokasi kejadian dan mendapati beberapa bukti bercanggah dengan keterangan awal suspek.

“Rakaman itu sangat penting dan menunjukkan kejadian tidak berlaku secara kebetulan,” ujar jurucakap polis.

Hasil siasatan lanjut dan soal siasat mendalam akhirnya membawa kepada pengakuan Venkatesh sendiri, yang mengaku membunuh ibu mentuanya demi wang insurans.

Artikel Berkaitan:

Polis turut mendedahkan bahawa Venkatesh berkongsi rancangan tersebut dengan abangnya dan berjanji akan memberikan separuh daripada jumlah insurans sekiranya dia bersetuju untuk membantu.

Menurut polis, perancangan Venkatesh sangat menyerupai jalan cerita filem Drishyam, di mana watak utama merancang secara teliti pembinaan alibi dan helah untuk mengelak ditangkap pihak berkuasa.

Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan lanjut terhadap individu lain yang terlibat dalam konspirasi tersebut. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!