Pegawai pertanian maut, dua Myvi bertembung

Keadaan kereta dipandu Nazirah yang remuk selepas bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dari arah bertentangan di Jalan Paka-Bandar Al Muktafi Billah Shah pada pagi Ahad. Gambar kecil: Nazirah
Keadaan kereta dipandu Nazirah yang remuk selepas bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dari arah bertentangan di Jalan Paka-Bandar Al Muktafi Billah Shah pada pagi Ahad. Gambar kecil: Nazirah
A
A
A

DUNGUN - Seorang pegawai pertanian maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan di Jalan Paka–Bandar Al Muktafi Billah Shah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Paka di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa, Nazirah Abdul Rahman, 41, dari Kampung Cacar Baru, Paka, di sini disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan ke tempat kerja di Pejabat Pertanian Hulu Paka, Bandar Ketengah Jaya sebelum bertembung dengan sebuah lagi Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

Pemandu lelaki berusia 43 tahun dan seorang penumpang wanita dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rizuan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.45 pagi sebelum mengerahkan enam anggota ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

"Anggota kami turut membantu kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan, manakala mayat Nazirah dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!