Dua peguam tawar khidmat percuma bantu Amir Raja Lawak

Dua peguam dari firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli cawangan Melor dan Tumpat menawarkan khidmat guaman percuma kepada Amir Raja Lawak.
Dua peguam dari firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli cawangan Melor dan Tumpat menawarkan khidmat guaman percuma kepada Amir Raja Lawak.
A
A
A

KOTA BHARU – Dua peguam dari firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli cawangan Melor dan Tumpat menawarkan khidmat guaman secara percuma (pro bono) kepada pelawak, Amir Raja Lawak susulan dakwaan beliau masih belum menerima bayaran sebanyak RM18,000 daripada sebuah stesen televisyen.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan, beliau dan rakan kongsi firma berkenaan, Che Muhammad Redzuan Jihad, membuat tawaran itu atas dasar ihsan dan tanggungjawab sosial selepas Amir menyatakan bahawa beliau tidak mampu menanggung kos guaman, malah terpaksa menjual kenderaan miliknya bagi menampung kehidupan.

“Kami terpanggil untuk membantu kerana beliau bukan sahaja anak Kelantan, malah telah banyak mempromosikan negeri ini menerusi karya dan lawak yang dipersembahkan kepada masyarakat seluruh Malaysia.

“Perkhidmatan guaman yang akan kami sediakan termasuk penyediaan surat tuntutan, rundingan antara pihak berkepentingan, nasihat berkaitan hak kontrak sivil serta tindakan saman sivil di mahkamah jika perlu,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Tambah beliau, walaupun jumlah tuntutan itu dilihat kecil dalam konteks kos guaman biasa, namun nilai keadilan dan hak seseorang individu tidak harus diukur dengan jumlah wang semata-mata.

Ujarnya, undang-undang adalah hak semua, termasuk mereka yang tidak mampu.

Nik Saiful Adli memberitahu bahawa tawaran tersebut adalah sebahagian daripada komitmen mereka menyumbang kepada khidmat masyarakat dan memastikan tiada pihak dinafikan hak hanya kerana kekangan kewangan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi Amir menerusi akaun Facebook bagi menawarkan perkhidmatan guaman dan masih menunggu maklum balas daripada artis berkenaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Amir mendakwa belum menerima bayaran melibatkan dua program yang dijayakannya pada tahun lalu, menyebabkan beliau terpaksa menjual kereta untuk menampung kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!