JDT kekalkan rekod tanpa kalah di Sepanyol

Kesebelasan utama JDT ketika berdepan Levante dalam aksi pramusim di Pusat Latihan Levant UD. - Foto: Johor Southern Tigers.
Kesebelasan utama JDT ketika berdepan Levante dalam aksi pramusim di Pusat Latihan Levant UD. - Foto: Johor Southern Tigers.
A
A
A

GERGASI Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rentak positif dalam kempen pramusim di Sepanyol apabila mencatat keputusan seri 0-0 menentang kelab La Liga, Levante UD dalam aksi persahabatan yang berlangsung pada Ahad.

Pertembungan di Pusat Latihan Levante UD itu menyaksikan tuan rumah yang baharu sahaja dinaikkan ke saingan La Liga musim 2025/26 memberikan tekanan berterusan kepada JDT yang sebelum ini mengikat kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City dengan keputusan 2-2.

Skuad Harimau Selatan, juara Liga Super 11 kali berturut-turut yang kini dibimbing bekas pengendali Huesca, Xisco Muñoz berdepan asakan bertali arus daripada barisan serangan Levante kendalian Julián Calero, jurulatih yang membawa Levante menjuarai Segunda División musim lalu.

Namun, segala percubaan Levante dinafikan oleh kecekapan barisan pertahanan JDT, khususnya penjaga gol yang mempamerkan aksi cemerlang sebagai benteng terakhir mengekang asakan lawan.

Kelincahan bintang sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi turut mencuri perhatian apabila berjaya mencetuskan beberapa percubaan dan mencipta peluang yang memaksa barisan pertahanan Levante bekerja lebih keras.

Aksi Arif Aiman semasa menentang Levante. - Foto: Johor Southern Tigers
Aksi Arif Aiman semasa menentang Levante. - Foto: Johor Southern Tigers

Keputusan seri ini sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah JDT dalam siri perlawanan pramusim di bumi Sepanyol sebagai persediaan menghadapi tiga kempen utama musim ini, Liga Malaysia 2025/26, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).

Skuad Harimau Selatan dijadual menamatkan siri pramusim mereka dengan aksi menentang pasukan simpanan Valencia, Valencia Mestalla, di Stadium Olimpik Camilo Cano pada 14 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!