Tuntut ilmu dengan guru bertauliah, elak terjebak program songsang

SHAH ALAM – Umat Islam diingatkan agar hanya menuntut ilmu dengan guru yang mempunyai autoriti dan tauliah yang sah bagi mengelakkan terjebak dalam ajaran yang menyimpang daripada landasan Islam.
Penceramah, pakar motivasi dan pengacara, Ustaz Nabil Ahmad berkata, setiap bentuk program atau seminar yang ingin dihadiri perlu dinilai dan disaring terlebih dahulu agar tidak bercanggah dengan hukum syarak dan akidah umat Islam.
“Kita kena belajar dengan yang telah diberikan pengiktirafan daripada sudut penyampaian serta sumber rujukannya. Dalam al-Quran, ALLAH menyebut bahawa kita adalah sebaik-baik ciptaan.
“Maka gunakan akal untuk menilai apa yang disampaikan kepada kita,” katanya ketika mengulas pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai sebuah program motivasi rumah tangga yang dianjurkan oleh sepasang suami isteri dan didakwa mempunyai unsur-unsur menyimpang daripada syariat Islam.
Selebriti TV Alhijrah itu turut mengingatkan bahawa setiap bentuk ketaatan tidak boleh melebihi batas sehingga mendorong kepada kemaksiatan terhadap perintah ALLAH SWT.
“Kalau ada program motivasi yang kononnya mahu membina keharmonian rumah tangga, tetapi mengarahkan peserta melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan syarak, seperti menanggalkan pakaian, bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram atau menyertai ritual tertentu, itu salah dan wajib ditolak,” ujarnya.
Beliau berkata, Islam telah menyediakan panduan lengkap melalui al-Quran dan sunnah, justeru setiap pengisian perlu berpaksikan kepada rujukan tersebut dan bukannya bersandarkan kaedah luar agama yang boleh memesongkan fahaman masyarakat.
Katanya lagi, masyarakat perlu bijak menilai dan tidak mudah menerima sebarang bentuk motivasi yang disampaikan oleh individu yang tidak dikenali latar belakang agamanya.
“Sebarang bentuk aktiviti atau program keagamaan yang mencurigakan perlu segera dirujuk kepada pihak berkuasa agama bagi memastikan ia tidak terpesong daripada ajaran Islam,” katanya.
Beliau menyeru agar masyarakat menjadikan isu ini sebagai pengajaran dan sentiasa menyaring sebarang bentuk pengisian spiritual atau motivasi yang diikuti agar tidak terpesong daripada ajaran Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

