PAC akan panggil semula saksi, bekas pengarah bebas MAHB - Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula beberapa saksi termasuk mantan pengarah bebas Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu penjualan saham dan penswastaan syarikat itu.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian terhadap hansard prosiding terdahulu mendapati masih terdapat beberapa persoalan belum terjawab.
"PAC telah mengadakan 16 mesyuarat prosiding setakat ini dan akan diteruskan dengan memanggil beberapa lagi saksi yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mas Ermieyati turut menegaskan bahawa kenyataan Naib Pengerusi PAC, Teresa Kok dan Ahli PAC, Sim Tze Tzin semalam adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi jawatankuasa.
Pada Khamis, Teresa dan Tze Tzin dilapor berkata, prosiding mengenai isu itu semalam berjalan lancar dengan kerjasama baik diberikan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.
Tze Tzin juga dipetik berkata, kebanyakan ahli PAC gembira serta berpuas hati melalui prosiding itu selain berpandangan tiada apa yang perlu disiasat memandangkan tiada isu tatakelola.
Selain itu, Mas Ermieyati mengingatkan bahawa segala dapatan, perbincangan dan dokumen yang dikemukakan dalam prosiding tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak seharusnya didedahkan kepada media oleh mana-mana pihak.
"PAC menghargai kerjasama baik yang telah diberikan oleh semua saksi yang dipanggil dalam prosiding berhubung isu Pengurusan Lapangan Terbang Awam, namun masih belum memuktamadkan sebarang rumusan atau syor berhubung prosiding berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, laporan lengkap akan disediakan selepas semua prosiding selesai, sebelum dikemukakan kepada kerajaan dan dibentangkan di Dewan Rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
