Cuai dapatkan rawatan untuk rakan karib, peniaga didenda maksimum RM500

KUALA LUMPUR - Padah tidak membawa rakan karib yang cedera parah ke hospital sehingga lelaki itu meninggal dunia, seorang peniaga dijatuhi hukuman denda maksimum RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.
Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu terhadap Oon Tien Yue, 37, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Tien Yue yang membayar denda tersebut, didakwa melakukan kesalahan itu yang membahayakan nyawa pemandu perkhidmatan e-hailing Law Mun How, 37, di sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang dekat sini antara jam 10.33 pagi 20 Jun lepas dan jam 7.50 malam 22 Jun tahun sama mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM500, atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang lemah kerana mengalami cedera parah akibat dipukul telah tidur di dalam kereta di hadapan rumah tertuduh selama seminggu sejak 14 Jun dan pada 20 Jun, Tien Yue membawa mangsa ke dalam rumah namun membiarkan lelaki itu di ruang tamu tanpa mendapatkan rawatan di hospital.
Hasil siasatan mendapati Tien Yue cuai kerana membiarkan Mun How yang cedera sehingga mati.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira fakta kes namun Tien Yue, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda ringan atas alasan dia menanggung ibu bapa yang uzur. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
