[VIDEO] Penunggang basikal dilarang guna lebuh raya - JSPT
KUALA LUMPUR – Penunggang basikal dilarang menggunakan laluan lebuh raya di negara ini kerana ia merupakan laluan khas untuk kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, larangan itu bertujuan menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya serta mematuhi peraturan sedia ada.

“Ia merupakan antara larangan yang jelas termaktub dalam Kaedah Isyarat Lalu Lintas LN167/59, khususnya Peraturan 17 yang menyatakan basikal, basikal roda tiga, beca serta kenderaan yang ditarik haiwan dilarang memasuki lebuh raya.
“Pihak konsesi lebuh raya atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memasang papan tanda larangan bagi memaklumkan secara jelas kepada pengguna bahawa laluan tersebut tidak boleh digunakan oleh penunggang basikal,” katanya pada Khamis.
Katanya, penunggang basikal yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Individu yang bersalah boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
“Penunggang basikal juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Kaedah Lalu Lintas LN165/59 yang mengandungi 18 peraturan asas,” katanya.
Menurutnya, antara yang dinyatakan dalam Peraturan 65 ialah keperluan untuk sentiasa mematuhi semua undang-undang, kaedah serta isyarat lalu lintas yang berkaitan.
“Isyarat tangan juga perlu digunakan bagi tujuan keselamatan dan memberi isyarat kepada pemandu kenderaan bermotor yang lain.
“Peraturan 66 menekankan penggunaan laluan yang paling selamat serta menjauhi kawasan lalu lintas yang sibuk,” katanya.
Mohd Yusri berkata, jalan raya di Malaysia direka lebih kepada pergerakan kenderaan bermotor dan bukan untuk aktiviti berbasikal, kecuali di kawasan khusus yang dibenarkan.
“Secara umum, terdapat dua tujuan orang ramai berbasikal di negara ini iaitu sebagai aktiviti rekreasi dan juga sebagai pengangkutan.
“Untuk tujuan rekreasi, penunggang seharusnya berbasikal di kawasan taman atau laluan khas yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan atau semasa program kayuhan yang dianjurkan secara rasmi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

