Penerima zakat serah semula bantuan wajar dicontohi - MUIP

Surat makluman berhenti terima bantuan zakat yang dihantar kepada MUIP. (Gambar kecil: Asmadi)
Surat makluman berhenti terima bantuan zakat yang dihantar kepada MUIP. (Gambar kecil: Asmadi)
A
A
A

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mendedahkan terdapat penerima bantuan zakat di negeri ini yang secara sukarela menamatkan bantuan bulanan mereka kerana mahu memberi peluang kepada keluarga lain yang lebih memerlukan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima surat daripada seorang wanita berusia 51 tahun dari sebuah daerah yang memaklumkan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan bantuan tersebut.

Menurutnya, wanita itu memberitahu keputusan dibuat kerana anak-anaknya sudah bekerja dan pendapatan mereka kini mencukupi untuk menampung keperluan keluarga.

“Kita amat menghargai keprihatinan dan kejujuran penerima yang memaklumkan perkara itu secara sukarela.

“Tindakan ini sebenarnya memberi ruang kepada kita untuk menyalurkan bantuan kepada asnaf lain yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Difahamkan, wanita berkenaan sebelum ini menerima bantuan zakat sebanyak RM500 sebulan sejak 2016 bagi menampung keperluan keluarga susulan keadaan ekonomi yang terjejas.

Bagaimanapun pada awal Julai lalu, wanita tersebut telah menghantar surat kepada MUIP memohon agar bantuan zakat yang diterimanya itu diberhentikan.

Mengulas lanjut, Asmadi berkata, tindakan wanita tersebut wajar dijadikan contoh kepada masyarakat kerana bukan semua sanggup melepaskan bantuan yang diterima meskipun keadaan mereka sudah stabil.

“Kita menyeru kepada penerima bantuan yang mengalami perubahan taraf hidup supaya memaklumkan kepada MUIP bagi memastikan agihan zakat dapat disampaikan secara adil dan berkesan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, pihaknya sentiasa komited memastikan setiap sen wang zakat diagihkan kepada golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan di negeri ini.

Ujarnya, ini bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan terurus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!