Polis buru remaja tunggang basikal lajak secara berbahaya di Jambatan Angkat

Tangkap layar video tular memaparkan sekumpulan remaja dipercayai bawah umur menunggang basikal lajak secara berbahaya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Tangkap layar video tular memaparkan sekumpulan remaja dipercayai bawah umur menunggang basikal lajak secara berbahaya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menyiasat video tular sekumpulan remaja dipercayai bawah umur menunggang basikal lajak secara melulu dan berbahaya ketika menuruni Jambatan Angkat di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, tindakan itu diambil susulan aduan orang awam berhubung video tersebut yang memaparkan kegiatan kumpulan remaja itu pada waktu siang.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kesemua individu yang terlibat dalam kegiatan itu.

"Hasil penelitian mendapati mereka melakukan dua kesalahan iaitu menunggang secara berbahaya dan mengubah suai struktur asal basikal.

"Penunggang boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 42(1)(a) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal yang telah diubah suai sehingga membahayakan pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Mohd Khairi turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dan memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak terlibat kegiatan yang mendatangkan berisiko terhadap keselamatan.

"Ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan jika didapati cuai dalam mengawasi pergerakan anak-anak mereka," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan di sekitar pusat bandar raya Kuala Terengganu serta kawasan tumpuan remaja sebagai langkah pencegahan.

"Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam bagi membantu pihak polis mengambil tindakan sewajarnya," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!