Ikrar Bebas Rasuah kukuh integriti Zakat MAINPP

KEPALA BATAS - Seluruh kakitangan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menunjukkan komitmen melawan rasuah dengan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha membanteras salah guna kuasa dalam kalangan warganya.
Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain berkata, lafaz IBR dilakukan mencerminkan iltizam kukuh institusi zakat negeri ini dalam memastikan tadbir urus telus, adil dan berintegriti, sejajar aspirasi kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, pelaksanaan IBR bukan sekadar simbolik tetapi merupakan tanggungjawab moral dan profesional setiap kakitangan dalam menggalas amanah umat Islam.
“Perjuangan melawan rasuah tidak boleh dibebankan kepada SPRM semata-mata. Ia memerlukan tanggungjawab kolektif daripada semua peringkat bermula daripada kepimpinan tertinggi sehingga ke setiap kakitangan,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Ketua Menteri 1 di Darul Hidayah, Permatang Gelam di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhamad Kairi Ghazali.
Menurut Rosidi, budaya kerja berintegriti mesti menjadi amalan harian dalam setiap keputusan, projek dan perbelanjaan.
“Rasuah dalam pengurusan zakat bukan sahaja mencemar nama baik institusi agama, malah pengkhianatan terhadap amanah dan dosa besar di sisi agama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

