Kucing tersepit di lubang angin pintu, APM jadi penyelamat

KUALA KETIL – Seekor kucing peliharaan yang tersepit di lubang angin atas pintu rumah berjaya diselamatkan oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling dalam satu operasi kecemasan di Taman Desa Bidara di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.43 pagi itu, APM menerima panggilan daripada seorang wanita, Nur Ain, yang memaklumkan bahawa kucing peliharaannya tidak dapat melepaskan diri selepas kepalanya tersepit di bahagian atas pintu rumah.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, seramai empat anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.
“Pemeriksaan awal mendapati kepala kucing tersepit di lubang angin dan tidak dapat dikeluarkan dengan cara biasa.
“Bagi mengelakkan kecederaan, anggota kami menggunakan peralatan khas untuk memotong sedikit bahagian pintu secara berhati-hati,” katanya pada Ahad.
Operasi menyelamat itu mengambil masa kira-kira 25 minit dan berakhir dengan kejayaan apabila kucing tersebut berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan.
Nur Ain turut merakamkan penghargaan kepada pasukan APM atas tindakan pantas dan profesional dalam menyelamatkan haiwan kesayangannya.
“Jabatan kami sentiasa bersedia memberi respons segera terhadap sebarang bentuk kecemasan, termasuk melibatkan haiwan peliharaan,” tambah Mohd Faizol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!