Tidak puas hati harga lelongan, 18 lelaki ditahan bergaduh di dewan sekolah

PONTIAN - Seramai 18 lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan di dewan sebuah sekolah di Pekan Nanas pada Jumaat, yang video kejadiannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, maklumat berhubung insiden pergaduhan itu diterima daripada orang awam pada kira-kira jam 11.30 malam.
"Susulan maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bergegas ke lokasi kejadian.
"Seramai 18 lelaki berusia antara 17 hingga 48 tahun disyaki terbabit dalam insiden rusuhan berkenaan," ujarnya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Mohammad Shofee, siasatan awal mendapati insiden pergaduhan dipercayai berlaku berikutan ketidakpuasan hati terhadap acara lelongan yang berlangsung di dewan berkenaan.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.
"Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 43 saat yang memaparkan suasana di dalam sebuah dewan yang kecoh dengan sekumpulan individu yang dilihat melempar kerusi ke arah pentas dewan.
"Orang ramai diminta tidak menyebarkan video atau maklumat yang belum disahkan kesahihannya serta memberi kerjasama bagi membantu siasatan lanjut.
"Sebarang maklumat lanjut berkaitan kejadian boleh disalurkan terus ke Hotline IPD Pontian di talian 07-6869999," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

