Inilah Saya - K Rajagobal penuh inspirasi

PETALING JAYA - Bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal berpendapat buku autobiografinya bertajuk Inilah Saya – K Rajagobal merupakan satu perkongsian ikhlas mengenai perjuangan, disiplin dan semangat patriotisme yang wajar dijadikan inspirasi oleh generasi muda.
Beliau berkata, ramai mengenalinya sebagai jurulatih yang membawa kejayaan kepada pasukan negara, namun tidak ramai mengetahui kisah di sebalik pencapaian tersebut.
“Dalam buku ini, ada bab berkaitan inspirasi, keberanian, kesungguhan, disiplin, jatuh bangun sehinggalah semangat patriotik untuk negeri dan negara.
“Inilah yang saya hendak ceritakan kepada semua generasi, terutama generasi muda, supaya tidak berputus asa. Biar jiwa kita kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sembang Santai bersama Datuk K Rajagobal bersempena Cerita Tepi Padang 2.0 pada Program Divisi Seni Selangor Football Music Club di The Paddock, di sini pada Sabtu.
Mengulas kandungan buku tersebut, Rajagobal turut menjelaskan tentang keberaniannya dalam membuat beberapa keputusan penting serta tekanan yang dihadapi sepanjang bergelar jurulatih.
“Dari luar, mungkin kita lihat jadi jurulatih itu perkara mudah. Namun, buku ini menceritakan bagaimana saya berdepan pelbagai tekanan,” ujarnya.
Tambah Rajagopal, buku terbabit mengisahkan perjalanan hidup dan pengalaman kerjaya beliau sejak awal hingga menjadi jurulatih bola sepak tanah air yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa buku tersebut mengetengahkan kisah pasukan bola sepak pimpinannya yang memenangi Piala AFF Suzuki 2010 dan pingat emas Sukan SEA 2009.
Katanya, turut digarapkan ialah perjuangan pasukan Selangor memenangi Piala Emas Raja-Raja dan Piala Presiden Selangor selepas 36 tahun serta kisah kejayaan membawa pasukan bawah 23 tahun muncul juara.
Justeru, beliau menyatakan harapan agar kandungan buku tersebut menjadi pembakar semangat kepada belia untuk terus mengejar cita-cita dalam apa jua bidang.
Menurut Rajagobal, buku tulisannya bukan sahaja relevan kepada mereka yang terlibat dalam sukan, malah sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin memahami erti semangat, usaha dan kepimpinan dalam mengharungi kehidupan.
Pada Mei lalu, buku Inilah Saya – K Rajagobal telah dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 dan kini boleh didapati di Karangkraf serta platform jualan terpilih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

