Remaja maut motosikal rempuh treler

PERMATANG PAUH - Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori treler di simpang tiga lampu isyarat, Jalan Permatang Pauh, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun menunggang motosikal dari arah Mak Mandin menghala ke Permatang Pauh dilaporkan bergerak terus ketika lampu isyarat berwarna hijau.
Bagaimanapun, sebuah lori treler dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke kanan tanpa berhenti di lampu isyarat, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tengah sebelah kiri lori tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
"Pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
"Saringan awal ujian air kencing ke atas pemandu berusia 40 tahun itu mendapati bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Helmi berkata, pemandu lori terbabit kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan lebih berwaspada, terutama ketika melalui persimpangan lampu isyarat, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Terdahulu tular video berdurasi 27 saat yang memaparkan detik-detik kemalangan di laman sosial sejak Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!