[VIDEO] Ibu didakwa bersubahat kes kekasih rogol anak usia 12 tahun

A
A
A

AMPANG – Seorang peniaga nasi lemak berusia 61 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan merogol anak perempuan kekasihnya yang berusia 12 tahun pada pertengahan tahun lalu.

Azman Hasim membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norshila Kamarudin.

“Tidak mengaku bersalah, saya tak buat,” kata Azman yang memakai baju kemaja berwarna hitam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas kesalahan tersebut terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika kejadian berusia 12 tahun empat bulan di sebuah rumah di Hulu Langat di sini pada jam 4 petang pertengahan tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376 (1) kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara di mahkamah sama, teman wanita Azman yang berusia 37 tahun, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dalam kes rogol anak kandungnya itu, didakwa membabitkan Azman.

Azman (kiri) dan kekasihnya dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan kes merogol dan bersubahat, tahun lalu.
Azman (kiri) dan kekasihnya dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan kes merogol dan bersubahat, tahun lalu.

Ia merupakan kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatannya di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Artikel Berkaitan:

Dia yang memakai baju sejuk berwarna hitam dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 375 (g) kanun sama, boleh dihukum bawah Seksyen 376 (1) kanun sama.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan kedua-dua tertuduh tidak diberi ikat jamin.

“Saya bimbang berlakunya gangguan terhadap mangsa memandangkan Azman merupakan kekasih wanita itu.

“Bagi tertuduh wanita pula, pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana sebelum ini mangsa menetap bersama ibunya,” kata Muhammad Hairuliqram.

Ekoran kejadian ini beliau berkata, mangsa tinggal berasingan dan menetap bersama ibu saudaranya.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam berkata, ahli keluarga mereka tidak hadir ke mahkamah untuk urusan jaminan.

Selepas mendengar perkara itu, Hakim, Norshila menetapkan 7 Ogos depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak menempuh detik hitam apabila dicabul dan dirogol kekasih ibunya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!