Karisma Brad Pitt ‘bakar’ litar perlumbaan

FILEM sulung mengenai dunia Formula Satu lakonan Brad Pitt, F1: The Movie akhirnya ‘bergerak’ dari garisan permulaan tayangan perdana.
Rata-rata penonton serta pengkritik bersetuju, filem ini memberi satu pengalaman lumba yang cukup mendebarkan, walaupun tidaklah terlalu mendalam dari sudut jalan cerita.
Arahan Joseph Kosinski, pengarah yang sama di sebalik kejayaan Top Gun: Maverick, filem ini membawa penonton menyelami semula dunia perlumbaan profesional melalui watak Sonny Hayes lakonan Brad Pitt, seorang bekas pelumba veteran yang kembali ke trek bagi melatih bintang baharu.

Tanpa perlu banyak gimik, F1: The Movie memukau dari segi teknikal. Penonton seolah-olah dibawa duduk dalam kokpit kereta F1 sebenar dengan visual mendalam, pergerakan kamera yang lincah serta bunyi enjin yang mengaum cukup realistik.
Pujian harus diberikan kepada jurukamera Claudio Miranda dan komposer Hans Zimmer, yang berjaya menghidupkan degupan jantung setiap selekoh litar.
Namun, seperti kebanyakan filem berunsur sukan, kisah di sebalik perlumbaan ini tidak lari daripada naratif tipikal; atlet lama cuba bangkit, konflik antara generasi dan pengajaran tentang semangat berpasukan.

Rata-rata kritikan utama menyebut plot filem ini sudah boleh dijangka dan tidak memberikan kelainan yang benar-benar luar biasa.
Bagaimanapun, kekuatan utama filem ini terletak pada karisma Pitt. Meskipun usianya menjangkau 60 tahun, beliau masih berjaya menawan layar dengan gaya bersahaja dan penuh emosi, membuktikan mengapa namanya masih kukuh sebagai bintang A-list Hollywood.
Keserasian antara Pitt dan Damson Idris (membawakan watak Joshua Pearce) juga mendapat pujian.

Dinamika mereka memberikan nafas segar kepada naratif yang mungkin klise, tetapi masih berkesan dalam menghubungkan penonton dengan dunia sukan yang penuh tekanan, disiplin dan harga diri.
Menariknya, filem ini juga menggunakan lokasi perlumbaan sebenar, menjadikan setiap adegan lebih impresif berbanding filem sukan lain.
Ditambah dengan kemunculan wajah-wajah sebenar dunia F1 dalam beberapa babak, ia memberi sentuhan autentik yang digemari peminat sukan permotoran.
F1: The Movie

Pengarah: Joseph Kosinski
Pelakon: Brad Pitt, Damson Idris, Kerry Condon, Tobias Menzies
Genre: Aksi / Sukan
Durasi: 2 Jam 35 Minit
Klasifikasi: 13
Tayangan: 26 Jun 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

