Apam Balik Kuhot lebih variasi, Mohamad Azmi giat luaskan pasaran, mahu kukuhkan jenama

A
A
A
Sebut sahaja apam balik, pasti ramai menjangka isinya mengandungi gula, kacang dan jagung.

Namun, seiring peredaran masa, perubahan terhadap makanan bukanlah sesuatu yang pelik. Begitulah juga yang berlaku pada apam balik versi terkini Apam Balik Kuhot yang mempelbagaikan variasi pilihan rasa dan menu.

Bermula di Ipoh, Perak kini Apam Balik Kuhot semakin giat menghasilkan pelbagai menu apam balik demi memenuhi kehendak pelanggan masa kini.

Melihatkan permintaan yang semakin meningkat, pengasasnya, Mohamad Azmi Ahmad optimis mengembangkan perniagaan Apam Balik Kuhot yang diusahakannya menembusi pasaran lebih luas di dalam negara.

Berbekalkan pengalaman membantu keluarganya berniaga apam balik di pasar malam 20 tahun lalu, Mohamad Azmi nekad sasarannya itu mampu dicapai sekali gus berkongsi pengalaman berniaga apam balik kepada orang ramai.

"Saya mahu lihat lebih ramai anak muda, khususnya usahawan Bumiputera menceburkan diri dalam bidang perniagaan seperti ini kelak," katanya sambil memberitahu idea mengembangkan perniagaan Apam Balik Kuhot tercetus pada 2017.

Idea kembangkan perniagaan

"Alhamdulillah idea tersebut mendatangkan hasil kerana sambutan yang diterima amat positif terutamanya dalam kalangan penggemar apam balik di sekitar Ipoh.

"Saya membuka kiosk Apam Balik Kuhot di Bercham, Ipoh seterusnya menjadi tarikan masyarakat sekitar apabila menu unik ini mula tular di laman sosial pada Februari tahun lalu.
Artikel Berkaitan:


"Bermula dengan hanya memperkenalkan lima menu, jumlahnya kini meningkat menjadi 26 menu. Antara menu yang paling mendapat sambutan ramai ialah keju Nutella, coklat keju dan serunding ayam," katanya.

Tambahnya, melihat kepada potensi perniagaan ini yang semakin berkembang maju, Apam Balik Kuhot giat mengorak langkah dengan menyediakan latihan dan bimbingan kepada usahawan muda yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan seperti ini," katanya.

Perniagaan yang mudah dikendalikan

Mohamad Azmi berkata, ramai beranggapan penyediaan apam balik memerlukan kemahiran khusus dan susah.

Namun katanya, dengan inovasi latihan yang berkesan, praktikal yang konsisten perniagaan apam balik ini sangat mudah untuk diuruskan.

"Justeru, tidak hairanlah seawal dua hari, kemahiran menyediakan apam balik ini dapat dipelajari dengan kaedah tunjuk ajar dan latihan praktikal yang tersusun," katanya.

Jelasnya, sehingga Disember 2018, Apam Balik Kuhot telah berjaya membuka lima kiosk melalui kaedah pelesenan rakan jenama dan rakan niaga bermula di Perak meliputi Ipoh, Kuala Kangsar dan Bagan Serai.

"Malah, di Shah Alam Selangor dan Kuching Sarawak juga. Selain itu dalam jangka masa terdekat Apam Balik Kuhot telah pun terima permintaan untuk membuka kiosk seterusnya Sabah, Johor, Kedah juga Melaka," katanya.

Katering apam balik

Sementara itu, Pengurus Rangkaian Apam Balik Kuhot, Siti Alyani Zukarnain berkata, sejak Julai 2018 Apam Balik Kuhot telah mula membina modul dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan pengurusan kiosk berjalan mengikut piawaian ditetapkan. "Melalui hebahan dan sesi perkongsian di media sosial, kami mula menerima permintaan membuka kiosk Apam Balik Kuhot dari pelbagai pihak," katanya sambil memberitahu, selain membuka kiosk, Apam Balik Kuhot turut menawarkan perkhidmatan katering apam balik bagi pelbagai majlis keraian dan korporat.