Tular video pelajar sekolah menengah bergaduh di belakang restoran

Tangkap layar video memaparkan insiden pergaduhan beberapa pelajar yang dipercayai dari sebuah sekolah menengah di Klang.
Tangkap layar video memaparkan insiden pergaduhan beberapa pelajar yang dipercayai dari sebuah sekolah menengah di Klang.
A
A
A

KLANG – Tular satu klip video memaparkan sekumpulan pelajar sekolah menengah terbabit dalam pergaduhan di lorong belakang sebuah restoran nasi kandar di Jalan Meranti Sutera 1/KU10, Meru di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan beberapa pelajar dari sebuah sekolah menengah di kawasan Meru.

"Setakat ini, tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung insiden tersebut.

"Bagaimanapun, polis memandang serius sebarang bentuk pergaduhan, khususnya membabitkan pelajar sekolah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Sebarang tindakan yang mengganggu ketenteraman awam akan disiasat dan diambil tindakan mengikut undang-undang," katanya.

Tambah beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Meru di talian 03-3392 2222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, video selama 22 saat tular di media sosial memaparkan insiden pergaduhan membabitkan beberapa pelajar yang dipercayai dari sebuah sekolah menengah di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!