Bekas Ketua Pengarah MSN dilantik CEO Sukan SEA 2027

BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027.
Pelantikan Abdul Rashid sebagai CEO berkuat kuasa pada Selasa dan tanggungjawab utama beliau ialah mengetuai sekretariat yang berperanan untuk menyelaras semua aspek persiapan bagi penganjuran temasya dwitahunan serantau itu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Abdul Rashid memiliki pengalaman luas dalam dunia sukan negara dengan pembabitan secara langsung selama lebih 37 tahun dan memegang pelbagai jawatan dalam MSN sebelum bersara sebagai ketua pengarah pada awal April lalu.
"Beliau juga memainkan peranan penting membantu MASOC dalam bidang pengurusan ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 yang dijadual berlangsung pada 2027.
Penganjuran kali ini turut membabitkan tiga negeri lain iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Johor yang telah bersetuju untuk menganjurkan beberapa jenis sukan.
Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-15 telah ditubuhkan menerusi keputusan Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada tahun 2017 yang menyaksikan kontinjen negara berjaya menamatkan kempen sebagai juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.
Menerusi penganjuran edisi Sukan SEA 2027, Malaysia bakal menjadi tuan rumah temasya sukan berprestij tersebut buat kali ketujuh selepas edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
