Bersih desak Akta Pendanaan Politik disegerakan

SHAH ALAM - Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan bagi memastikan ketelusan dalam penerimaan dan perbelanjaan dana politik di negara ini.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz mempersoalkan perkembangan terkini akta tersebut yang disifatkan masih tergantung tanpa tindakan jelas daripada pihak kerajaan.
“Apa jadi dengan Akta Pendanaan Politik? Kejutan demi kejutan berkenaan isu rasuah dan salah laku orang politik terus berlaku, tapi ia hanya berlegar dalam kalangan rakyat marhaen di bawah.
“Mereka di atas dan pemain politik dilihat selesa lalui hari seperti ‘business as usual’,” katanya menerusi aplikasi X pada Ahad.
Beliau mendakwa pemain politik hanya sekadar bercakap mengenai kajian akta tersebut tetapi tidak menunjukkan sebarang langkah pelaksanaan.
“Tak perlu guna helah kajian tentang modul apa yang nak digunakan untuk tidak mahu melaksanakannya.
"la bukan roket sains kerana asasnya jelas iaitu tuntutan terhadap ketelusan dana politik agar tidak berlaku amalan curang dan salah laku membabitkan wang,” katanya.
Tambah beliau, Bersih turut menuntut agar sebarang perbincangan melibatkan kerajaan dan parti politik mengenai akta itu dibuat secara terbuka supaya rakyat tahu pihak mana yang tidak menyokong penggubalan undang-undang tersebut.
“Kepada kerajaan Madani, kuasa di tangan anda. Akta ini hanya memerlukan majoriti mudah.
“Rakyat sedang memerhati sama ada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar serius dengan iltizam politik untuk membanteras rasuah. Kian hari rakyat semakin bosan dengan slogan dan retorik politik kosong,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
