Putra, Kabilan tunjuk taring di Byon 5

PETARUNG Malaysia, Putra Abdullah Mahmoud dan Kabilan Jelevan mencatat kemenangan bergaya menerusi keputusan sebulat suara dalam aksi Byon Combat Showbiz Vol. 5 di Tennis Indoor Senayan, Indonesia pada malam Sabtu.
Putra 'The Prince' Abdullah tampil dominan ketika menewaskan petarung tuan rumah, Rachmad Rizal Gozali atau lebih dikenali sebagai KK Chal dalam peraturan kick striking.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Putra di pentas Byon selepas kejayaan menumpaskan Bernard Salasa atau KK Ungke dalam aksi tinju di Byon 4 sebelum ini.
Dengan dua wakil daripada klan 'KK' berjaya ditumbangkan, rekod bersih 2-0 yang dicatat Putra kini meletakkannya sebagai antara petarung Malaysia paling konsisten dan berprofil tinggi di kejohanan anjuran Byon.
Turut mencuri tumpuan ialah Kabilan 'The Hunter' Jelevan yang membuat penampilan sulung di pentas Byon menentang wakil Indonesia, Brian Lawitan dalam aksi kick striking.

Beraksi sebagai underdog, petarung asal Sarawak itu mempamerkan ketenangan luar biasa dan kecerdikan taktikal untuk meraih kemenangan sebulat suara daripada ketiga-tiga juri hasil persembahan dominan sejak pusingan pertama.
Anak didik kem Rentap Muaythai dan rakan sepelatih bintang muda muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar, Kabilan turut memiliki pengalaman berharga di pentas ONE Championship yang jelas membantu prestasinya dalam mengekang tekanan dari penyokong tuan rumah.
Namun, nasib berbeza menimpa petarung berpengalaman, Mohammed Mahmoud atau Jordan Boy selepas tewas kepada rakan senegara, Ammarul Shafiq dalam pertarungan yang turut mencuri perhatian peminat.
Kekalahan itu memusnahkan hasrat Jordan Boy yang juga bekas petarung ONE Championship untuk mengadakan pertarungan semula dengan bintang Indonesia, Serial Effendy.
Sebaliknya, kemenangan itu menyaksikan Ammarul dipilih sebagai pencabar baharu kepada Serial dalam pertembungan yang dijangka menjadi acara kemuncak pada edisi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

