'Tak perlu takut pemain import, ambil cabaran' - Apek

Khairul Fahmi
Khairul Fahmi
A
A
A

PENJAGA gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat tidak melihat kehadiran lebih ramai pemain import dalam kancah Liga Super akan merencatkan peluang pemain tempatan untuk beraksi.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berkata, meskipun dibenarkan untuk mendaftar seramai 15 import, dia percaya kehadiran mereka sedikit sebanyak akan memberi saingan yang sihat untuk merebut tempat dalam pasukan.

“Walaupun saya penjaga gol, tetapi apabila saya tengok dengan beberapa pertahanan atau penyerang import yang ada, ia dapat bagi peluang untuk saya belajar sesuatu juga.

“Bagi saya, lagi tinggi tekanan dalam perlawanan, lagi besar pengalaman berguna yang dapat kita belajar dan saya percaya setiap pemain baik tempatan atau import ada kualiti masing-masing.

“Jadi, kita tidak perlu takut pun dan ambil cabaran ini untuk perbaiki lagi diri kita untuk menjadi pemain yang lebih cemerlang,” katanya.

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan setiap pasukan dibenarkan mendaftar 15 import musim depan berbanding hanya 12 pemain import pada musim lalu.

Dalam pada itu, dia menaruh impian untuk merangkul satu trofi pada musim hadapan selepas mengharungi tiga musim penuh mencabar bersama Sabah FC itu.

Dia telah bersama Sabah FC sejak musim 2022 menyaksikan pasukan cemerlang di tangga ketiga selama tiga tahun berturut-turut.

Memasuki musim keempat bekas penjaga gol kebangsaan ini bersama Sabah FC, dia percaya kelab itu di landasan tepat untuk mengharungi persiapan yang lebih rapi bagi memastikan mereka mampu bersaing lebih baik untuk musim baharu nanti.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, dia memasang impian besar untuk melihat Sabah berjaya melangkah lebih jauh baik di pentas Piala Malaysia atau Piala FA bagi sekurang-kurangnya merangkul satu trofi.

“Dah tiga musim sejak saya hadir ke sini, Sabah FC menamatkan saingan liga di tangga ketiga, jadi sudah tentu secara peribadi, saya nak tengok pasukan ini sekurang-kurangnya dapat merasai pentas final tidak kira di Piala Malaysia atau Piala FA.

“Sebelum ini kalau kita tengok, biasanya kita akan berjaya sampai ke suku akhir atau separuh akhir sahaja, tapi saya percaya dengan persediaan lebih baik, kita boleh untuk merangkul satu trofi.

“Jadi, saya harap Sabah dapat bersaing lebih cemerlang dan dapat bagi tentangan sengit juga kepada kelab lain di pentas Liga Super, dan terima kasih sangat-sangat kepada semua penyokong Sabah yang sentiasa ada bersama kami,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!