Elak ulas setiap perkara ikut fahaman politik, kaum - Saifuddin Nasution

BALING - Semua pihak diingatkan agar tidak mengulas setiap perkara mengikut fahaman politik dan kaca mata perkauman, termasuk berkaitan pelantikan dalam bidang ketenteraan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua keputusan pelantikan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuat berdasarkan merit, disiplin dan melalui proses yang panjang.
Menurutnya, situasi yang berlaku ketika ini tidak pernah terjadi pada era 90-an, apabila semua pegawai yang dilantik bekerja dengan penuh harmoni tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Baru-baru ini, apabila seorang individu dinaikkan pangkat mendapat dua bintang, timbul pula kenyataan spekulatif.
“Gambaran yang diberikan seolah-olah jika keadaan ini berterusan, suatu hari nanti Perdana Menteri Malaysia pun akan (berbangsa) Cina,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Empangan Sabo di Kampung Iboi, Kupang, pada Sabtu.
Saifuddin Nasution berkata, perkara seumpama perlu dielakkan kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum.
“Tidak semua perkara perlu diulas dari kaca mata perkauman, lebih-lebih lagi institusi ketenteraan yang lebih mengetahui proses kenaikan pangkat dengan tapisan serta penilaian melalui Majlis Angkatan Tentera,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim membidas Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, yang mempertikai pelantikan Datuk Johny Lim Kean Seng sebagai Leftenan Jeneral dalam ATM.
Steven menyifatkan kenyataan Zaharuddin sebagai penghinaan kepada kebijaksanaan ATM dan Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera yang memperkenankan pelantikan tersebut.
Dalan pada itu, Saifuddin Nasution menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang mengingatkan semua pihak agar tidak mempergunakan agama untuk kepentingan politik.
“Titah sempena Sambutan Maal Hijrah 1447H itu turut menitipkan pesanan agar tiada pihak cuba memecahbelahkan perpaduan kaum di Malaysia, yang amat berbeza dengan penghayatan Islam itu sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

