Mbappe susut 5kg

PENYERANG Real Madrid, Kylian Mbappe disahkan tidak akan diturunkan menentang RB Salzburg dalam aksi terakhir Kumpulan H, Piala Dunia Kelab FIFA hari ini kerana belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan.
Mbappe mengalami penurunan berat badan hampir lima kilogram (kg) akibat serangan gastroenteritis akut iaitu keradangan serius pada saluran pencernaan.
Situasi itu memaksanya menerima rawatan intensif di hospital.
Pemain berusia 26 tahun itu juga tidak beraksi dalam dua perlawanan terdahulu menentang Al-Hilal dan Pachuca.
Pengendali Los Blancos, Xabi Alonso memaklumkan bahawa Mbappe baru sahaja kembali menjalani latihan ringan dan hanya akan diturunkan jika pasukan layak ke pusingan 16 terbaik.
“Dia belum pulih sepenuhnya. Kami jangka dia hanya bersedia untuk aksi seterusnya jika kami mara,” ujar Alonso.
Madrid kini berkongsi empat mata bersama Salzburg di tangga teratas kumpulan.
Namun, kedudukan masih terbuka dengan Al-Hilal di tempat ketiga (2 mata) berpeluang mencuri slot ke pusingan seterusnya sekiranya menang dan salah satu pencabar utama tewas.
“Kami perlu menang dan pastikan kedudukan sebagai juara kumpulan sebelum hadapi pusingan kalah mati,” tambah Alonso.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

