1,405 premis diperiksa KPDN Selangor dalam tempoh 12 jam

Anggota penguat kuasa KPDN Selangor memeriksa penimbang di sebuah premis perniagaan dalam operasi dijalankan.
Anggota penguat kuasa KPDN Selangor memeriksa penimbang di sebuah premis perniagaan dalam operasi dijalankan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memeriksa sebanyak 1,405 premis dalam tempoh 12 jam menerusi pelaksanaan Kempen Kita Gempur pada Rabu.

Pemeriksaan yang dijalankan penguat kuasa KPDN Selangor itu melibatkan kawasan bandar dan luar bandar meliputi Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, jumlah itu merupakan pencapaian tertinggi pemeriksaan premis dalam tempoh sehari oleh pasukan penguat kuasa di negeri ini.

"Pemeriksaan tertumpu kepada pematuhan perundangan membabitkan barangan keperluan asas pengguna seperti minyak masak paket satu kilogram, tepung gandum, gula pasir, telur ayam, barangan kering, sayur-sayuran, makanan laut dan makanan dalam tin.

"Penekanan turut diberikan kepada aspek pematuhan penandaan tanda harga, penggunaan alat timbang dan sukat, aktiviti jualan murah, pengiklanan serta lain-lain keperluan berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan berlandaskan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

Seorang anggota penguat kuasa KPDN Selangor ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah premis perniagaan di sekitar negeri itu.
Seorang anggota penguat kuasa KPDN Selangor ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah premis perniagaan di sekitar negeri itu.

"Pendekatan advokasi turut dilakukan bagi memastikan peniaga memahami keperluan setiap peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zuhairi berkata, usaha pemeriksaan dan advokasi serentak itu dilaksanakan dengan matlamat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 1,000 premis dalam masa sehari.

"Selain pemeriksaan, sebanyak 1,000 peniaga turut dibantu mempamerkan pelekat QR Code KPDN SPOT-i yang mengandungi maklumat berkaitan kepenggunaan dan panduan peniaga secara digital.

"Pemeriksaan akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan tahap pematuhan dalam kalangan peniaga di Selangor berada pada tahap yang baik dan memberi manfaat kepada pengguna," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!