UiTM tangguh Istiadat Konvokesyen ke-92

UiTM menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-92 susulan Covid-19.
UiTM menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-92 susulan Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM – Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-92 di kesemua kampus cawangan universiti itu termasuk Shah Alam ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata, tarikh baru bagi majlis itu akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan mengambil maklum perkembangan terkini mengenai penularan jangkitan wabak itu.

“Pengurusan UiTM perlu mengambil tindakan pencegahan dan proaktif demi kesihatan dan keselamatan seluruh warga UiTM dan masyarakat amnya.

“Sehubungan itu, mengambil kira nasihat KKM (kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 11 Mac adalah dirujuk) dan Mesyuarat Khas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-92 yang dipengerusikan Naib Canselor pada 12 Mac, Pengurusan Eksekutif UiTM telah membuat keputusan untuk menangguhkan istiadat itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Mohd Azrai turut memohon maaf atas segala kesulitan dan perkara bersangkutan yang berbangkit susulan penangguhan majlis itu.

“Pengurusan UiTM juga sangat menghargai kefahaman, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam hal ini.

“Bersamalah kita berdoa dan mengharapkan wabak ini dapat ditangani segera dan keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan: