Elak ramai jadi mangsa, ahli majlis tanda sendiri jalan berlubang

IPOH – Prihatin dengan keselamatan pengguna jalan raya, seorang Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil inisiatif sendiri menandakan jalan berlubang dan rosak menggunakan semburan cat bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa kemalangan.
Ahli Majlis Zon 1 Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, tindakan itu dilakukan selepas seorang penghantar makanan mengalami kemalangan di hadapan pejabatnya akibat terlanggar lubang di jalan raya.
Menurutnya, antara kawasan yang telah dikenal pasti terdapat jalan berlubang dan rosak termasuklah sekitar Bandar Baru Putra, Taman Perpaduan dan Ipoh Garden.
“Saya sendiri melihat seorang penghantar makanan terjatuh di Ipoh Garden. Sejak itu, saya mula perasan ada banyak lubang di sekitar Ipoh tidak dipantau dan hanya ditampal selepas ada aduan. Jadi saya ambil pendekatan menandakan sendiri lokasi yang bahaya ini.
“Seperti yang terbaru saya tanda di laluan berhampiran dua sekolah di Bandar Baru Putra. Kawasan sekolah itu pun pernah berlaku kemalangan melibatkan pelajar yang menunggang motosikal. Saya tidak mahu tunggu sehingga ada kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.
Mazlan berkata, setakat ini beliau telah menandakan jalan-jalan berlubang menggunakan semburan cat putih dan merah di beberapa kawasan seliaannya iaitu Bandar Baru Putra dan Taman Perpaduan selain Ipoh Garden.
Jelasnya, tindakan tersebut bukan sekadar untuk keselamatan, tetapi turut memudahkan pihak MBI dan syarikat konsesi Punca Emas Infra Sdn Bhd mengenal pasti lokasi yang perlu ditampal.
"Setiap kali lubang atau jalan rosak ini ditanda, saya akan berkongsi gambar dan lokasi dalam Facebook bagi memudahkan syarikat konsesi dan MBI mengambil tindakan.
"Walaupun ini bukan kerja saya, tapi saya fikir keselamatan pengguna motosikal khususnya lebih penting kerana kemalangan boleh meragut nyawa,” ujarnya.
Beliau turut bercadang membawa cadangan itu ke mesyuarat penuh MBI agar pendekatan sama boleh dilaksanakan oleh ahli-ahli majlis lain demi kesejahteraan penduduk bandar raya ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

