Mesyuarat MBN putuskan tubuh Majlis Penasihat - Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Penubuhan sebuah Majlis Penasihat yang terdiri daripada pelbagai pakar merupakan antara keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Selasa.
Beliau berkata, antara keputusan utama lain ialah pemberian mandat kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai peneraju Hab Benih Negara, usaha membangunkan keturunan tulen ayam pedaging dan penelur tempatan, serta pengkomersialan baka Ayam Saga.
“Malaysia masih bergantung hampir sepenuhnya kepada benih import, termasuk 90 peratus benih sayur dan benih tembikai yang bernilai RM2.7 juta. Ini merupakan satu cabaran besar yang mesti kita tangani bersama demi masa depan keterjaminan makanan negara.
“Agenda keterjaminan benih ini bukan sahaja penting untuk industri agromakanan, malah menjadi teras kepada kedaulatan dan keselamatan negara. Kita perlu menghasilkan benih tempatan yang berkualiti, tahan lasak dan mampu memenuhi keperluan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan Agenda Keterjaminan Benih Negara dapat membantu Malaysia mencapai kemandirian dalam sektor benih tempatan.
“Ini bukan soal pertanian semata-mata, ini soal kedaulatan dan masa depan negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
