Projek Centrum Iris perkasa gaya hidup tanah tinggi, tumpu pembinaan lestari

Daniel (dua dari kanan) dan Cynthia (kiri), bersama Lucas (kanan) di majlis pelancaran Centrum Iris bersama-sama menyaksikan dengan tarian singa yang melambangkan kemakmuran, tuah dan permulaan yang penuh keberkatan bagi pembangunan baharu ini di Cameron Highlands.
Daniel (dua dari kanan) dan Cynthia (kiri), bersama Lucas (kanan) di majlis pelancaran Centrum Iris bersama-sama menyaksikan dengan tarian singa yang melambangkan kemakmuran, tuah dan permulaan yang penuh keberkatan bagi pembangunan baharu ini di Cameron Highlands.
A
A
A

PEMAJU hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan Centrum Iris, presint kedua di Cameron Centrum bagi memperkasa gaya hidup tanah tinggi serta menumpukan kepada pembinaan yang lebih lestari.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Daniel Lim berkata, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM472 juta, Centrum Iris secara rasmi menjadi pembangunan komersial terbesar di Cameron Highlands, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi kehidupan bersepadu di kawasan tanah tinggi.

Menurutnya, pembangunan Centrum Iris fasa kedua merupakan satu pencapaian penting dalam merealisasikan visi LBS untuk mentakrifkan semula gaya hidup tanah tinggi.

“Projek ini dibangunkan berasaskan kejayaan Presint 1, pembangunan bercampur terbesar di Cameron Highlands yang telah siap pada tahun 2021.

“Presint 1 menampilkan sejumlah 58 unit kedai pejabat dan kini dipenuhi 95 peratus oleh jenama-jenama terkenal dalam sektor makanan dan minuman, perbankan, penjagaan kesihatan serta keperluan harian.

“Ekosistem komersial yang pesat berkembang di Presint 1 telah menyediakan asas kukuh untuk kejayaan Centrum Iris, sekali gus menawarkan kemudahan gaya hidup sedia ada dan tarikan pelaburan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MyKey International dan Dreamscape Hospitality Group sempena pelancaran rasmi Centrum Iris di Cameron Highlands, pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Lucas Lim.

Mengulas lanjut, menurut Daniel, Centrum Iris ialah pembangunan pertama di Cameron Highlands yang menerima Silver GreenRE Certification, iaitu pengiktirafan terhadap usaha berterusan LBS dalam pembangunan lestari dan mesra alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dengan mengutamakan konsep kehidupan hijau dalam reka bentuknya, projek itu merangkumi kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), 47 fasiliti berorientasikan gaya hidup serta kafe dan restoran bumbung yang menawarkan pemandangan panorama tanah tinggi.

“Terletak di tengah-tengah pusat komersial Brinchang yang sedang pesat membangun, Centrum Iris menawarkan 705 unit kediaman berkeluasan antara 595 hingga 1,370 kaki persegi dengan harga permulaan dari RM476,000.

“Selain itu, terdapat 26 unit komersial dengan keluasan antara 615 hingga 2,944 kaki persegi yang ditawarkan pada harga bermula RM676,000.

“Pembangunan ini menggabungkan seni bina moden dengan elemen elegan berinspirasikan reka bentuk Inggeris bagi mewujudkan destinasi gaya hidup unik dan berprestij di kawasan tanah tinggi, sesuai untuk pemilik rumah mahupun pelabur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Daniel berkata, antara tumpuan utama pada majlis pelancaran tersebut ialah pemeteraian MoU bersama pengendali platform sewaan pelancongan, MyKey International (MyKey) dan Dreamscape Hospitality Group (Dreamscape).

Inisiatif itu dijangka membuka peluang pulangan pelaburan yang lebih mudah dan efisien kepada pembeli serta pemilik hartanah LBS.

“MoU ini membolehkan kami memperluas daya tarikan Centrum Iris dengan konsep pemilikan kediaman sekali gus meneroka potensi pasaran sewaan jangka pendek di lokasi pelancongan utama negara.

“Pelancaran ini bukan sekadar satu kejayaan dalam pembangunan hartanah, malah mencerminkan misi berterusan kami untuk membina komuniti lestari, dilengkapi fungsi moden dan gaya hidup kontemporari,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!