Tiada istilah putus asa buat Miki

TIADA istilah putus asa buat petarung muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, biarpun tewas kepada wakil Jepun, Ryu Hanaoka dalam saingan Rise World Series 2025 di Yokohama pada Sabtu.
Malah petarung berusia 16 tahun itu tekad bangkit lebih kuat pada pertarungan akan datang.
"Alhamdulillah. Kalah atau menang ia cuma satu perlawanan. Saya akan kembali dan perbaiki apa yang silap.
"Kepada kem latihan Superborn. Terima kasih di atas tunjuk ajar dan persiapkan saya," katanya.
Mikail atau terkenal dengan julukan Miki, turun dalam kategori Super Fight 54 kilogram (kg), cuba memberi tentangan dalam ketiga-tiga pusingan, tetapi Hanaoka dilihat lebih berpengalaman untuk menang menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).
"Kalah bukan bererti gagal. Ia bermakna anda perlu terus belajar dan berkembang," catat Miki menerusi Insta Story.
Biarpun tewas, pujian wajar diberikan kepada Miki kerana memaksa lawannya yang juga pemenang tali pinggang Knock Out Black Super Flyweight itu berlawan sehingga tiga pusingan penuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!