'Apa maknanya lagi Liga Super kita?'

Sri Pahang sebelum ini dilaporkan tidak akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan. Foto Bernama
Sri Pahang sebelum ini dilaporkan tidak akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan. Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN Sri Pahang menarik diri membuktikan bahawa saingan Liga Super sememangnya berdepan dengan masalah yang perlu diberi perhatian serius.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, langkah pasukan itu, yang disusuli kegagalan dua lagi pasukan gergasi iaitu Kedah Darul Aman FC dan Perak FC memperoleh lesen kebangsaan, turut menambahkan tekanan terhadap kredibiliti dan kestabilan Liga Super.

Menurutnya, situasi ini memberi tamparan hebat kepada saingan bola sepak negara, sekali gus menunjukkan wujudnya pelbagai masalah dalam kalangan pasukan, termasuk isu kewangan, pengurusan dan aspek lain yang menjejaskan kelangsungan liga.

“Saya lihat keputusan Sri Pahang serta ketiadaan Kedah dan Perak turut mendedahkan betapa seriusnya masalah yang menghantui kancah bola sepak negara.

“Ia mengundang kebimbangan terhadap masa depan Liga Super yang sepatutnya menjadi pentas untuk memperkasa bakat tempatan dan menarik minat penyokong bola sepak di seluruh negara.

“Pada ketika saingan liga seharusnya berlangsung sengit dan kompetitif, keputusan ini memberi gambaran bahawa banyak isu perlu diselesaikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta semua pihak yang terlibat, bagi memastikan Liga Super kembali stabil dan relevan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pekan berkata, MFL sebagai pengelola liga perlu memandang serius isu tersebut bagi mengelakkan lebih banyak pasukan terkubur, terutamanya dalam tahun-tahun akan datang.

“Ketiadaan tiga pasukan besar ini memberikan impak yang besar, bukan sahaja terhadap kehadiran penyokong, malah juga kepada pembangunan bola sepak di negeri-negeri terbabit. Apa maknanya lagi Liga Super kita?

“Tidak wajar untuk menyatakan bahawa apabila tiga pasukan ini tiada, pasukan lain boleh menggantikan mereka. Sebagai pengelola liga, MFL bertanggungjawab memastikan pembangunan bola sepak negara terus bergerak maju, termasuk di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

“Saya bimbang, sekiranya tiada langkah drastik diambil oleh MFL, tahun depan dan tahun-tahun mendatang akan menyaksikan masalah ini menjadi lebih serius,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!