Wea Selamos, Tok Singa dipenjara 3 tahun belasah pensyarah hingga buta

KOTA BHARU – Empat pengamal perubatan tradisional termasuk dua individu dikenali sebagai Wea Selamos dan Tok Singa dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, selepas didapati bersalah membelasah seorang pensyarah hingga buta mata kiri dalam kejadian empat tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli terhadap Wea Selamos atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Izwan Midin dan Tok Singa atau Muhammad Firdaus Mohd Adnan, masing-masing berusia 37 tahun.
Dua lagi tertuduh ialah Idrees Ishak, 46, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 39, yang turut bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional.
Kesemua mereka didapati bersalah pada akhir kes perbicaraan.
“Mahkamah mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh adalah penafian semata-mata. Maka semua tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini,” kata Mohd Zul Zaqikudin dalam keputusannya.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 43, sehingga menyebabkan mangsa hilang penglihatan kekal pada mata kiri. Kejadian berlaku di sebuah rumah tumpangan di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, pada jam 4 pagi, 5 Ogos 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohamad.
Menurut Mohd Azrul, kejadian berpunca daripada dakwaan bahawa mangsa melakukan rawatan tradisional yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Semua tertuduh adalah perawat tradisional yang cuba membantu masyarakat, namun mangsa dikatakan mengamalkan kaedah rawatan tidak selari dengan Islam,” katanya.
Pada prosiding itu, semua tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman untuk mengemukakan rayuan.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan syarat rayuan difailkan segera dan jaminan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh.
Kesemua tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan jaminan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!