Ular tedung selar sembunyi dalam busut ditangkap

KUALA PILAH - Seekor ular tedung selar seberat dua kilogram berjaya ditangkap selepas didapati bersembunyi di dalam sebuah busut di Kampung Terusan Seberang, di sini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Pilah, Leftenan (PA) Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, kejadian berlaku apabila ular berbisa itu dipercayai sedang mengejar seekor ular rusuk kerbau yang menjadi mangsanya.
Menurutnya, seramai enam anggota APM diketuai Koperal (PA) Mohammad Ismail Mohd Yunus telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada penduduk.
"Operasi menangkap ular tersebut mengambil masa hampir lima minit.
"Ketika tiba, anggota mendapati tedung selar itu menyembunyikan diri dalam sebuah busut berhampiran rumah pengadu.
"Lima minit masa diambil bagi menangkap ular berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, ular berkenaan kemudian telah dibawa ke Pusat Kawalan Operasi APM Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!