Malaysia gantung operasi kedutaan di Iran - Mohamad Alamin

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi Kedutaan Malaysia di Iran digantung sementara susulan konflik bersenjata negara itu dengan Israel dijangka berlarutan.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Sabtu.

Terdahulu media melaporkan, pegawai kanan tentera Israel memberi amaran bahawa konflik bersenjata dengan Iran dijangka berlarutan dan menyeru rakyat agar bersedia menghadapi 'kempen paling kompleks dalam sejarah negara'.

Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral Eyal Zamir dalam ucapan video menyatakan bahawa Israel kini berada dalam fasa awal operasi ketenteraan besar-besaran bagi menghapuskan ancaman yang didakwanya mampu menggugat kewujudan negara Yahudi itu.

Sementara itu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan kepada sebuah portal berita memaklumkan, kerajaan telah mengarahkan warga kedutaan dan rakyat Malaysia di negara bergolak itu untuk segera pulang ke tanah air.

Mohamad turut mengesahkan banyak kedutaan negara-negara lain juga sudah berbuat demikian susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan peningkatan ketegangan konflik Iran-Israel.

Selain itu beliau berkata, rakyat Malaysia yang terkandas dijangka menempuh perjalanan selama 13 jam untuk sampai di Turkmenistan, iaitu kawasan sempadan terdekat negara berkenaan.

Kementerian Luar juga menurutnya, sudah menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Tehran menggunakan laluan darat selepas semua penerbangan dari ibu negara Iran tidak lagi dibenarkan beroperasi.

Rabu lalu, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dilapor berkata, rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dipindahkan keluar dengan bantuan kerajaan seawal Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci mengenai bentuk evakuasi atas faktor keselamatan, namun memberi jaminan semua langkah telah diambil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!