'Kempen penuh adab, berhemah'

No Image Caption
A
A
A

TUMPUAN rakyat ketika ini pastinya terarah pada kehangatan kempen PRK Parlimen Cameroh Highlands, selepas selesainya proses penamaan calon kelmarin.

Secara rasminya juga, empat calon bakal bersaingan bagi merebut kerusi untuk mewakili masyarakat di kawasan pelancongan bersuhu sejuk yang terkenal di negara itu.

Semua sedia maklum, apabila adanya persaingan, maka setiap calon dan penyokong parti yang bertanding akan menggunakan pelbagai cara untuk menarik pengundi supaya memilih calon mereka.

Namun, dalam keghairahan berkempen itu, nilai-nilai dan adab perlu dijaga supaya tidak wujud fitnah dan atau sebarang unsur yang tidak baik.

Peringatan penting ini bukan sahaja perlu difahami penyokong, tetapi lebih penting lagi calon itu sendiri yang bakal dipilih sebagai wakil rakyat atau pemimpin masyarakat selepas memenangi PRK itu nanti.

Pensyarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (Inspire), Fakulti Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Wan Mohd Yusof Wan Chik berkata, seseorang yang ingin menjadi pemimpin yang terbaik, perlu gunakan cara yang baik untuk memenangi jawatan yang diingini itu.

Katanya lagi, niat dan cara yang betul perlu seiring supaya jawatan yang diperolehi itu nanti lebih diberkati.

"Sebagai contoh, apabila kita sukakan wanita dan berhasrat untuk menikahinya, tetapi kita tahu wanita tersebut bertunang dengan lelaki lain.

Artikel Berkaitan:

"Namun disebabkan kita inginkan juga wanita tersebut kita gunakan cara yang tidak betul untuk memilikinya. Ianya salah.

"Samalah juga situasinya dalam menghadapi kempen pilihan raya. Sesiapa sahaja calon yang bertanding, perlu diingat gunalah cara yang betul.

"Jangan berkempen dengan memburukkan orang lain atau pun fitnah semata-mata kita mahu dia dibenci dan rakyat memberikan kemenangan kepada kita," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, cara itu bukan sahaja tidak betul, malah tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, apatah lagi bagi mereka yang beragama Islam.

"Sekalipun kita menang selepas berjaya memfitnah orang lain, bukan sahaja tidak memperoleh pahala, sebaliknya juga turut mendapat dosa.

"Justeru, selaku rakyat Malaysia yang masih kekal dengan adat dan budaya Timur, haruslah diingat bahawa kekalkan kempen yang penuh adab dan berhemah," katanya.