[VIDEO] Aerotrain KLIA kembali beroperasi 1 Julai ini

A
A
A

SEPANG – Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi semula mulai 1 Julai ini selepas lebih setahun dihentikan bagi kerja naik taraf sistem dan keselamatan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ujian teknikal telah memasuki fasa akhir dan operasi hanya akan dimulakan selepas menerima kelulusan penuh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Beberapa ujian penting termasuk kesiapsiagaan kecemasan (Emergency Response Plan) akan dilaksanakan dalam beberapa hari ini bersama pasukan keselamatan dan kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi Aerotrain di KLIA pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek penggantian Aerotrain KLIA melibatkan penggunaan tiga tren baharu jenis Innovia APM R keluaran syarikat antarabangsa Alstom, dengan dua tren beroperasi serentak ketika waktu puncak dan satu lagi berfungsi sebagai tren simpanan.

Menurutnya, dua penanda aras utama iaitu Fault-Free Run (FFR) dan Final Careful Inspection telah berjaya disempurnakan dengan mematuhi sepenuhnya spesifikasi teknikal yang ditetapkan oleh APAD.

Perkhidmatan Aerotrain di KLIA akan kembali beroperasi mulai 1 Julai ini bermula jam 10 pagi.
Perkhidmatan Aerotrain di KLIA akan kembali beroperasi mulai 1 Julai ini bermula jam 10 pagi.

“FFR membabitkan operasi tren pertama sejauh 2,000 kilometer tanpa sebarang gangguan teknikal, manakala dua lagi tren masing-masing menamatkan 1,000 kilometer operasi tanpa gangguan. Ini membuktikan sistem ini sudah stabil dan bersedia untuk digunakan secara langsung,” katanya.

Sistem baharu ini menggunakan teknologi kawalan tren berasaskan komunikasi yang membolehkan perjalanan lebih pantas dan cekap secara automatik tanpa pemandu.

Artikel Berkaitan:

Setiap tren mempunyai kapasiti membawa sehingga 270 penumpang bagi satu perjalanan dan direka untuk operasi fleksibel, khususnya semasa waktu puncak apabila dua tren akan beroperasi serentak.

Anthony menjelaskan bahawa tren ketiga disediakan sebagai tren simpanan untuk digunakan jika berlaku kerosakan atau semasa waktu puncak tertentu seperti musim cuti atau sambutan perayaan.

Anthony Loke pada sidang akhbar selepas meninjau operasi Aerotrain di KLIA pada Sabtu.
Anthony Loke pada sidang akhbar selepas meninjau operasi Aerotrain di KLIA pada Sabtu.

Dalam tempoh penyelenggaraan sebelum ini, MAHB telah menyediakan bas pengantara dari terminal utama ke bangunan satelit. Perkhidmatan tersebut akan diteruskan buat sementara waktu sebagai langkah sokongan tambahan.

“Walaupun Aerotrain akan kembali beroperasi, perkhidmatan bas pengantara masih dikekalkan sebagai pelan mitigasi sehingga sistem Aerotrain stabil sepenuhnya,” katanya.

Katanya, waktu kejuruteraan bagi kerja penyelenggaraan ialah dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi, di mana hanya satu tren akan beroperasi dalam tempoh tersebut.

Menurut kenyataan Alstom, sistem ini turut dilengkapi teknologi pemantauan keadaan terkini bagi mengesan potensi kerosakan lebih awal demi menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang.

Reka bentuk tren baharu ini juga menitikberatkan akses inklusif dengan laluan keluar masuk yang lebih luas serta kawalan suhu pintar dan sistem brek regeneratif untuk kecekapan tenaga.

Ketika ditanya mengenai kelewatan pelaksanaan, Loke menjelaskan bahawa ia berpunca daripada keutamaan untuk mematuhi semua prosedur keselamatan dan standard teknikal sebelum mendapat kelulusan APAD.

“Keselamatan penumpang adalah keutamaan. Kalau ujian belum selesai atau gagal, saya tidak akan benarkan ia beroperasi. Itu tanggungjawab kami,” katanya.

Beliau berkata, penangguhan operasi sebelum ini dari suku pertama tahun ini ke Mei dan kini ke Julai adalah berdasarkan hasil ujian teknikal yang memerlukan penambahbaikan.

Anthony turut menyifatkan kejayaan projek ini sebagai penanda aras penting dalam meningkatkan imej KLIA sebagai hab penerbangan serantau menjelang Sidang Kemuncak ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kita mahu KLIA kembali menjadi lapangan terbang utama yang cekap dan menyenangkan pengalaman pelancong antarabangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!