MOT digesa libat semua pihak berkepentingan dalam industri gig

SHAH ALAM – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) digesa mengambil pendekatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dengan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam industri gig sektor e-hailing dan p-hailing dalam sesi libat urus, agar suara pemandu serta penghantar tidak dipinggirkan.
Gesaan itu disuarakan oleh enam persatuan berkaitan, iaitu Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.
Menurut mereka, sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan prinsip inklusif, langkah berkenaan seharusnya merangkumi penyertaan lebih meluas, khususnya daripada pertubuhan yang benar-benar mewakili suara dan kepentingan pemandu serta penghantar di lapangan.
“NGO yang aktif dan terbukti mewakili pemandu serta penghantar memainkan peranan penting sebagai jambatan antara dasar dan realiti.
“Mereka memahami isu akar umbi seperti ketidaktentuan pendapatan, ketiadaan perlindungan sosial, serta ketidakseimbangan kuasa antara syarikat platform dan pekerja.
“Tanpa keterlibatan mereka, dasar yang dirangka berpotensi tidak berpijak di bumi nyata,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, pendekatan yang lebih menyeluruh amat penting bagi memastikan dasar yang digubal benar-benar adil, berkesan serta berasaskan data dan pengalaman sebenar.
Tegas mereka, hanya melalui keterbukaan dan penyertaan inklusif, ekosistem industri tersebut dapat dibangunkan secara mampan demi manfaat semua pihak, khususnya mereka yang menjadi tulang belakang perkhidmatan harian ini.
“Langkah MOT yang hanya melibatkan satu pihak dalam sesi libat urus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek ketelusan dan keseimbangan dalam proses membuat keputusan.
“Libat urus yang bersifat sepihak tidak mencerminkan gambaran sebenar landskap industri, malah berisiko besar mengetepikan pandangan, cabaran dan realiti harian yang dihadapi oleh majoriti golongan pekerja gig ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!