Pemerkasaan instrumen kewangan negara

Melunaskan pembayaran cukai kerana ia juga mampu menghasilkan kebaikan dan pahala serta pembangunan yang dinikmati semua. Gambar hiasan (Gambar kecil: Abu Hafiz)
Melunaskan pembayaran cukai kerana ia juga mampu menghasilkan kebaikan dan pahala serta pembangunan yang dinikmati semua. Gambar hiasan (Gambar kecil: Abu Hafiz)
A
A
A

DALAM Islam, terdapat beberapa kaedah pengumpulan harta awam untuk digunakan bagi kepentingan ditetapkan syarak, antaranya zakat yang berfungsi dengan diambil sejumlah harta seseorang Muslim yang layak dan diagihkan kepada kumpulan yang berhak.

Kewajipan membayar zakat sangat penting dalam Islam kerana ia salah satu Rukun Islam.

Fungsi zakat yang utama selain membersihkan harta kumpulan masyarakat Muslim dikategorikan kaya, ia telah terbukti membantu kumpulan Muslim lain yang memerlukan bantuan untuk keluar daripada kemiskinan atau bebanan kewangan.

Namun, penggunaan dana zakat terhad kerana penerima manfaat zakat telah ditetapkan oleh al-Quran dan sunnah walaupun terdapat peluasan ruang penerima manfaat itu melalui ijitihad semasa para sarjana moden Islam.

Oleh itu, dalam mendepani keperluan pembangunan dan pentadbiran negara, terdapat beberapa instrumen kewangan selain zakat, antaranya percukaian —bayaran dikenakan kerajaan terhadap individu, syarikat atau barang-barang untuk perbelanjaan negara.

Secara ilmiah, hukum percukaian dalam Islam telah menjadi perdebatan antara sarjana Muslim sama ada ia dilarang untuk dikutip atau diharuskan untuk kerajaan memungutnya.

Antara nama besar sarjana silam dan kontemporari yang melarangnya ialah Ibn Muflih, al-Hijawi, Ibn Hajar al-Haithami dan Mulla ‘Ali al-Qari termasuk beberapa fatwa negara seperti Arab Saudi dan Brunei.

Namun, bagi sejumlah sarjana Muslim lain menyatakan kerajaan dibolehkan melaksana dasar percukaian selagi bertujuan memenuhi kemaslahatan awam dana menyokong fungsi asas pentadbiran negara.

Artikel Berkaitan:

Mereka seperti Ibn Hazm al-Andalusi, Ibn Taimiyyah, al-Syatibi dan Ibn Khaldun dalam kalangan ulama silam. Sarjana kontemporari yang menilai keharusan pelaksanaan dasar percukaian dalam negara Islam seperti Mahmud Syaltut, Muhammad al-Ghazali, Abu al-A’la al-Maududi, Yusuf al-Qaradhawi dan Ahmad al-Raysuni.

Penilaian yang dibuat bukan sekadar kepada kefahaman mereka terhadap dalil tetapi realiti semasa pentadbiran sesebuah negara. Istinbat (proses penetapan hukum syarak) yang dilakukan mereka adalah dengan memahami firman ALLAH SWT dalam surah al-Taubah ayat 41 dan al-Kahfi ayat 94.

Wujudnya indikasi dan isyarat kewajipan mengeluarkan harta bagi kepentingan awam selain instrumen zakat dalam kedua-dua ayat tersebut. Pada masa sama, terdapat satu riwayat disandarkan kepada Nabi SAW berkenaan wujudnya hak lain dalam harta seseorang selain zakat, seperti diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi.

Sungguhpun riwayat itu dinilai dhaif, ia disokong dengan mafhum kenyataan sama dengan sanad sahih daripada ramai kalangan sahabat dan tabi’in seperti Umar al-Khattab, Ali bin Abi Thalib, ‘Aisyah, al-Hasan al-Basri dan Ibrahim al-Nakhaie.

Fungsi percukaian adalah meliputi keperluan dan pembangunan negara secara komprehensif, berbanding kebenaran menggunakan dana zakat yang lebih terhad, walau kedua-duanya punya kesamaan fungsi dan objektif.

Melunaskan pembayaran cukai kerana ia juga mampu menghasilkan kebaikan dan pahala serta pembangunan yang dinikmati semua.

Pada masa sama, komitmen Kerajaan Madani melalui pengulangan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam menitikberatkan tatakelola kewangan negara sangat dialu-alukan.

Pelunasan tanggungjawab pembayaran cukai oleh warga Malaysia yang diwajibkan akan dengan mudah berlaku tatkala cukai yang dibawa dapat dilihat dan dirasai.

Maka, keseimbangan tanggungjawab rakyat dalam membayar cukai dan tanggungjawab kerajaan dalam menggunakan duit percukaian rakyat dengan berhemah tanpa boros serta ketirisan sangat diperlukan agar keharmonian, kerjasama dan pembangunan negara dapat dicapai.

*Dr Abu Hafiz Salleh Hudin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran & Sunnah AbdulHamid AbuSulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!