Covid-19: Kejohanan Badminton Terbuka India diteruskan

Mungkin kejohanan itu diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton. Foto: Reuters
Mungkin kejohanan itu diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton. Foto: Reuters
A
A
A

PENGANJURAN Kejohanan Badminton Terbuka India 2020 yang akan berlangsung di New Delhi dari 24 hingga 29 Mac akan diteruskan seperti yang dirancang walaupun wujud kebimbangan berhubung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan hari ini berkata, Persatuan Badminton India (BAI) bercadang untuk meneruskan kejohanan itu selepas mendapatkan pandangan pakar berhubung nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan India.

“Langkah-langkah pencegahan akan dipertingkatkan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pemain, rombongan dan pegawai mereka. Ini termasuk kemungkinan kejohanan itu diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton,” menurut kenyataan itu.

Kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 BWF itu menawarkan hadiah wang tunai AS$400,000 (RM1.692 juta) merupakan kejohanan yang berada dalam kalendar kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan berakhir pada 2 April ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: