Bekas Pengerusi Pengelola DBP meninggal dunia

Mohamed Hatta
Mohamed Hatta
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom meninggal dunia pada jam 2.20 petang tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak beliau, Dr Munawar Hatta menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook.

Mohamed Hatta yang berasal dari Johor pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dari Julai 2018 hingga Mei 2020.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Dato’ Jaafar, Johor Bahru sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Seorang ahli akademik sejak tahun 1984, beliau memperoleh latihan perubatan prasiswazah di Universiti Kaherah, Mesir, dan kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang psikiatri di UKM serta menerima latihan dalam bidang psikiatri forensik di Universiti Monash, Australia.

Mohamed Hatta turut aktif dalam penulisan ilmiah dan umum, merangkumi bidang psikiatri, perubatan Islam, pengembaraan kemanusiaan serta komentar sosio-politik, yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Beliau juga pernah menyumbang artikel di ruangan Cetusan terbitan Sinar Harian.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan, Majlis Profesor Negara; ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja; serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!