Pendaki veteran bawa semangat Felda mahu tawan Everest

JERANTUT – Bukan omong-omong kosong, sebaliknya seorang pendaki warga emas, Syed Abdullah Syed Qasim, 62, dari Felda Jengka 24, tekad meletakkan misi menawan gunung tertinggi dunia Gunung Everest.
Terkenal dalam kalangan komuniti pendaki dan pelari ultra trail tempatan dengan panggilan Pak Syed, mula terlibat dalam aktiviti tersebut setelah diajak seorang rakan mendaki Gunung Bubu, Perak pada tahun 2011.
Anak jati kelahiran Jerantut, Pahang itu kini sudah menjelajah lebih 20 lokasi pendakian di Nepal, termasuk ke Everest Base Camp sebanyak empat kali serta Annapurna Base Camp sebanyak 18 kali.
Selain itu, beliau juga berjaya menawan Lukla dan Island Peak (Imja Tse) di Nepal, masing-masing berketinggian 5,732 dan 6,165 meter pada Oktober tahun lalu.

Mula menetap di Felda Jengka 24 sejak 38 tahun lalu, Pak Syed akui usia hanyalah angka dan bukan penghalang untuk merealisasikan impian menawan puncak tertinggi dunia itu.
“Selain Everest, alang-alang sudah ke sana, saya juga ingin menawan Gunung Lhotse yang terletak bersebelahan, iaitu gunung keempat tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,516 meter.
“Ini antara impian hidup saya dan jika mendapat tajaan kerana kos yang tinggi diperlukan saya akan pergi tahun depan. Persediaan mental dan fizikal memang dilakukan secara berterusan.
“Doakan impian saya tercapai. Kalau berjaya, ia bukan kejayaan saya seorang, tetapi untuk seluruh masyarakat Felda yang saya wakili,” katanya penuh semangat.
Bapa kepada lima anak itu mengakui jatuh cinta dengan aktiviti mendaki selepas berpeluang mengenali ramai rakan daripada pelbagai latar belakang, selain manfaat kesihatan yang diperoleh.
Tambahnya, selain itu beliau juga dapat menikmati keindahan ciptaan ALLAH SWT dan kepuasan apabila berjaya tiba di puncak.
“Ramai kata saya sudah tua, patut duduk di rumah sahaja, pergi masjid. Tetapi bagi saya, selagi ada kudrat dan kesihatan yang baik, saya mahu buktikan kepada generasi muda bahawa semangat kental lebih penting daripada usia,” ujarnya.
Beliau sudah beberapa kali menawan Gunung Kinabalu dan menamatkan pendakian kesemua puncak G7 (gunung melebihi 7,000 kaki) di Malaysia seperti Gunung Tahan dan Gunung Korbu. Beliau turut berjaya menawan puncak luar negara seperti Gunung Fuji, Rinjani, Kerinci, Marapi dan Anak Dara.
Dalam pada itu, Pak Syed gembira kerana minatnya itu mendapat sokongan keluarga. Malah, anak perempuannya, Sharifah Nor Amirah, 33, turut mengikut jejak langkahnya.

“Kadang-kadang kami mendaki bersama, jadi saya akan beri semangat kepadanya. Kini dia juga aktif mendaki selepas terlibat beberapa tahun lalu,” katanya.
Ditanya mengenai gunung yang paling mencabar, beliau berkata, beberapa puncak dalam dan luar negara memberikan cabaran tersendiri.
“Kalau dalam negara, secara peribadi Gunung Tahan, Gunung Nuang dan Gunung Semangkuk mencabar kerana faktor fizikal dan trek. Manakala di luar negara, Gunung Rinjani dan Island Peak,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!