Kerap berdialog, beribadah bersama sifat yang patut diamalkan bapa hari ini

HARI Bapa merupakan hari yang disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan seorang ayah yang mendidik serta membesarkan anak-anaknya.
Umumnya, tiada tarikh tertentu dalam menyambut Hari Bapa namun ia ditetapkan pada hari Ahad ketiga dalam bulan Jun.
Sempena Hari Bapa, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menyenaraikan empat sifat bapa yang patut diamalkan oleh setiap ayah.

Menurut beliau, ia berdasarkan kepada sifat Nabi Ibrahim AS sebagai seorang ayah.
“Sedar atau tidak, ibadah korban yang kita laksanakan baru-baru ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan sirah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail AS.
“Peranan seorang ayah (iaitu Nabi Ibrahim) dalam menyantuni anaknya (Nabi Ismail) ketika perintah korban ini berlangsung sangat penting untuk direnungi oleh setiap ayah,” jelasnya di Facebooknya pada Isnin.
Menurut Dr Ahmad Sanusi, empat sifat yang patut diamalkan setiap bapa:
1 – Sentiasa berdoa buat keluarga
Salah satu doa Baginda yang popular adalah agar dikurniakan anak yang soleh dan inilah yang perlu dilakukan pada setiap ayah pada hari ini.

Nabi Ibrahim berdoa: “Rabbi habli minas solihin. (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong daripada orang-orang yang soleh).” (Surah as-Saffat: 100)
2 – Ajak anak lakukan ibadah bersama
Bukan sekadar berdoa agar dikurniakan anak yang soleh, Nabi Ibrahim turut mengajak anaknya untuk melakukan ibadah bersama.
Inilah yang perlu dilaksanakan oleh setiap ayah pada hari ini iaitu mengajak anak-anak mereka melaksanakan ibadah bersama.

Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail membina Baitullah iaitu Kaabah berdasarkan firman ALLAH: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil kedua-duanya berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami). Sesungguhnya ENGKAUlah yang MAHA MENDENGAR lagi MAHA MENGETAHUI’.” (Surah al-Baqarah: 127)
3 – Kerap berdialog dengan anak
Nabi Ibrahim turut dilihat kerap berdialog dengan anak Baginda. Dalam perintah korban, Nabi Ibrahim bertanya pandangan anaknya, begitu juga dalam urusan hubungan suami isteri, Nabi Ibrahim turut pernah menasihati Nabi Ismail.
Ketika perintah korban diturunkan, Nabi Ibrahim tetap memulakan perbincangan bersama anaknya sekalipun perintah itu pada hakikatnya merupakan arahan daripada ALLAH.
Begitulah seorang ayah, perlu banyak berbincara dan berbincang dengan anaknya. Masa bersembang dengan anak perlu lebih banyak daripada masa melihat telefon.
4 – Bapa yang penyayang
Nabi Ibrahim juga merupakan seorang ayah yang penyayang. Sifat penyayang Nabi Ibrahim terzahir apabila Baginda berusaha mendoakan buat ayah (atau pak cik) Baginda agar diberikan keampunan oleh ALLAH.
Lalu ALLAH memuji sifat Nabi Ibrahim dalam firman-NYA: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.” (Surah at-Taubah: 114)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!