Ringgit susut berbanding dolar AS menjelang keputusan kadar faedah AS

RINGGIT ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menjelang keputusan mengenai kadar faedah AS lewat hari ini, selain ketegangan yang terus meningkat antara Israel dan Iran.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada paras 4.2500/2550 berbanding dolar AS, susut daripada 4.2390/2475 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, petunjuk utama yang perlu diperhatikan adalah carta "plot titik" (dot plot) Rizab Persekutuan AS, yang secara asasnya mencerminkan prospek jangka pendek dasar monetari AS.
Dot plot Rizab Persekutuan merupakan carta yang digunakan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bagi memaparkan unjuran kadar faedah oleh setiap ahlinya.
“Rizab Persekutuan dilihat tidak cenderung untuk melonggarkan dasar monetari dalam masa terdekat memandangkan risiko inflasi masih tinggi, terutama akibat konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah. Pasaran kini menunggu keputusan mesyuarat FOMC malam ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, ringgit bergerak dalam julat kecil hari ini, dengan pergerakan antara RM4.2425 dan RM4.2515.
Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7218/7285 daripada 5.7413/7528, dan naik berbanding euro kepada 4.8888/8945 daripada 4.8986/9084. Namun begitu, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9322/9359 daripada 2.9271/9332 semasa ditutup pada Selasa.
Sementara itu, ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 260.5/260.9 daripada 260.2/260.8, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3074/3115 daripada 3.3068/3137, dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0240/0449 daripada 13.0114/0443 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.46/7.48 daripada 7.48/7.49 ketika ditutup semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!