PBT perlu contohi MPK: Exco Johor

Hong Pin (tengah) bersama kakitangan awam yang menerima sijil penghargaan kerana melaporkan pemberian dan penerimaan rasuah.
Hong Pin (tengah) bersama kakitangan awam yang menerima sijil penghargaan kerana melaporkan pemberian dan penerimaan rasuah.
A
A
A

KLUANG - Kerajaan Johor mahu setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mencontohi usaha Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dalam aktiviti pencegahan rasuah dengan melakukan kerjasama pintar bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Ping berkata, usaha tersebut yang telah bermula sejak 2016 juga merupakan contoh usaha sama yang boleh dilaksanakan agensi kerajaan atau swasta bagi pencegahan rasuah secara strategik dan menyeluruh.

"Melalui program ini, SPRM melantik penguatkuasa MPK sebagai pegawai integriti dan sebagai penjawat awam, mereka boleh membantu dan bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan negeri Johor bebas daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Saya dimaklumkan, pada tahun lepas banyak kes orang awam cuba memberi suapan kepada anggota penguatkuasa PBT kita terutamanya di kawasan MPK ini sendiri dan ada juga kes yang telah selesai dan sedang disiasat oleh SPRM," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Program Simposium Integriti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, semalam.

Turut hadir, Pengarah SPRM Negeri Johor, Datuk Azmi Alias; Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ), Muzaldin Mohamed dan Yang Dipertua MPK, Mohd Rafi Abdullah.

Menurutnya, sepanjang 2016 sehingga 2018 juga, terdapat 20 kes dilaksanakan dengan kerjasama di antara MPK dan SPRM khususnya dalam bidang penguatkuasaan sekali gus berjaya meningkatkan kutipan hasil MPK sepanjang tahun.

"Apa yang kita buat ini bukannya bertujuan untuk menghukum semata-mata, sebaliknya hanya mahu mewujudkan kesedaran kepada masyarakat agar jangan memberi sogokan kepada kakitangan PBT kerana boleh menjadi bahaya sekiranya tidak dibanteras.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya, persepsi orang awam terutamanya kepada kakitangan PBT terutamanya penguatkuasa sangat negatif dan sebab itu kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) hendak membetulkan semula imej tersebut secara keseluruhan," katanya.

Pada masa, beliau juga dimaklumkan terdapat beberapa ahli politik daripada komponen PH yang dilihat sudah semakin hampir terhadap gejala rasuah ini selain meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan salah laku mereka kepada SPRM untuk diambil tindakan.